ND Lala, isteri sah bercerai selepas 34 tahun
IKATAN rumah tangga penyanyi terkenal pada era 1980-an dan 1990-an, Datuk Amir Amzah Salleh atau dikenali sebagai ND Lala yang terbina selama 34 tahun dengan isteri, Datin Fauziah Sarman akhirnya terlerai.
Berita duka itu dikongsikan Fauziah menerusi laman sosial Instagram.
Ibu kepada penyanyi Shila Amzah dan Syada Amzah itu mendedahkan ND Lala telah melafazkan cerai kali pertama pada 2 Ogos lalu manakala kali kedua pada 8 Ogos.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-NYA dan kekuatan kasih sayang ALLAH, saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
“UNTUK PERKAHWINAN YANG TERBINA SELAMA 34 TAHUN, LAFAZ CERAI INI DIBUAT OLEH BEKAS SUAMI SAYA PADA TARIKH 2 OGOS LALU DI MASJID AR RAHMAN, BANGSAR DAN SAYA DIMAKLUMKAN SEMALAM (8 OGOS 2023) MELALUI WHATSAPP.
“Alhamdullilah, ALLAH telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini. Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-ALLAH,” titipnya.
“SAYA MENULIS INI UNTUK MENJELASKAN STATUS SAYA AGAR TIDAK TIMBUL SEBARANG FITNAH DAN CUBA MENDIDIK JIWA SAYA UNTUK TIDAK MENAFIKAN KENYATAAN YANG TELAH TERTULIS DALAM PERKAHWINAN KAMI SELAMA 34 TAHUN INI,” KONGSI FAUZIAH.
Menerusi Instagram, Fauziah memohon orang ramai mendoakan agar dirinya kuat untuk meneruskan kehidupan.
“Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana kuatnya saya selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.
“Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan dalam membina hidup yang lebih diredai ALLAH tanpa menyakiti jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.
“Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata.
“Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua,” kongsinya.
Sebelum ini, ND Lala dikaitkan dengan kontroversi berhubung penyanyi lelaki popular era 80-an yang dikhabarkan bernikah lagi bersama wanita muda.Bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan atau kenyataan berhubung berkaitan isu terbabit.
Terdahulu, rumah tangga pasangan tersebut dikatakan berantakan. Namun Shila menafikan spekulasi dan menjelaskan rumah tangga ibu bapanya sedang melalui fasa sukar.
ND Lala dan Fauziah berkahwin pada tahun 1989. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25. - Sinarplus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!