Jadikan Malaysia hab pendidikan antarabangsa - Khaled Nordin

Khaled Nordin. - Foto Bernama
Khaled Nordin. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengajaran Tinggi (KPT) akan mengkaji semula dasar-dasar berkait pendidikan tinggi termasuk melakukan penambahbaikan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian tersebut turut melibatkan polisi imigresen negara bagi memudahkan lebih ramai pelajar antarabangsa masuk terutama di negeri ini untuk melanjutkan pengajian mereka.

"Langkah ini akan diambil dalam memastikan sasaran negara menjadi sebuah hab pendidikan dan berilmu tinggi dapat dicapai.

"Antara sasaran kita dalam perkara ini termasuklah untuk menjadi tuan rumah kepada ramai individu berilmu yang mempunyai bakat luar biasa, dengan tujuan perkongsian maklumat agar modal insan negara turut dipertingkatkan.

"Kedua, kita juga mahu berkongsi maklumat dan kepakaran tempatan kepada rakan-rakan dari pelbagai negara antarabangsa bagi terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam dunia," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pembukaan Forum Presiden Universiti anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sebuah hotel di bandar raya ini pada malam Selasa.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya yakin matlamat tersebut mampu dicapai menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan pendidikan serta komitmen penuh diberikan kerajaan Persekutuan terhadap memperkasa pendidikan tinggi negara.

"Selain itu, matlamat ini juga sejajar dengan falsafah Malaysia Madani yang sedang diperkenalkan kerajaan Persekutuan hari ini," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!