'Anwar siang malam fikirkan rakyat' - Armizan
SEREMBAN - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mempersoalkan kenapa masyarakat perlu risau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, sedangkan siang dan malam beliau asyik memikirkan soal rakyat.
"Saya tak faham kenapa orang risau sangat dengan Anwar, macam-macam disebut, kalau Anwar Perdana Menteri, inilah jadi, itulah jadi dan sebagainya.
"Tapi sebagai seorang ahli jemaah menteri saya nak sahkan siang malam, 24 jam setiap masa diskusi dan perbincangan kami untuk pastikan kesejahteraan rakyat Malaysia di semua peringkat," katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Beliau juga membidas kenyataan sesetengah pihak yang selalu menyindir hubungan terjalin antara gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan tidur sama-sama, tapi mimpi lain-lain.
Jelasnya, setiap ahli gabungan itu seharusnya rasa bangga kerana akhirnya demi kepentingan besar iaitu memulihkan kembali negara ini, masing-masing memilih untuk mencari titik persamaan, bukannya perbezaan.
"Ada yang sebut kita ini bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan tidur sama-sama dan mimpi lain-lain. Hebat dia tahu mimpi kita.
"Namun saya orang baharu dalam kabinet Kerajaan Perpaduan dalam enam, tujuh bulan ini, saya nak nyatakan mimpi kita semua adalah serupa untuk pastikan Malaysia bangkit, untuk pastikan kita dapat bawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!