Rakyat Malaysia ditahan bawa 4.7 kg dadah di Singapura

Gambar hiasan - 123RF
Gambar hiasan - 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Pihak berkuasa Singapura menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 4.7 kilogram (kg) heroin dalam sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos 2003.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 22 tahun yang menaiki kereta terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Kenyataan bertarikh 8 Ogos yang disiarkan di laman sesawang ICA menjelaskan, pegawai menjumpai beg kanvas dalam but kereta ketika melakukan pemeriksaan ke atas kereta itu.

"Bungkusan dipercayai dadah ditemui dan pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu. 10 bungkusan mengandungi heroin dengan berat keseluruhan kira-kira 4,723g ditemui di dalam beg berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Nilai rampasan 4,723g heroin dianggarkan berjumlah lebih AS$331,400, cukup untuk kegunaan kira-kira 2,240 penagih selama seminggu.

"Siasatan mengenai kejadian masih diteruskan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!