Neymar tidak mahu tinggalkan PSG
BEBERAPA jam selepas media Perancis, L'Equipe menyiarkan bahawa Neymar telah memaklumkan Paris Saint-Germain (PSG) mengenai hasratnya untuk meninggalkan kelab itu bulan ini, bapanya menafikan sekeras-kerasnya laporan itu.
Neymar da Silva Santos mengesahkan bahawa anaknya, yang turut diwakilinya sebagai ejennya tidak menghantar sebarang surat kepada PSG.
"Saya tidak boleh mengesahkan berita yang belum berlaku, L'Equipe ialah L'EFake," katanya dalam kenyataan eksklusif kepada saluran PL Brasil.
Akhbar Perancis itu mendakwa bahawa pemain Brazil itu telah meminta untuk meninggalkan kelab itu kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima daripada penyokong Paris.
Pada Mei lalu, terdapat demonstrasi di hadapan rumah Neymar selepas PSG tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich.
“Maklumat yang didakwa itu kami tidak tahu datang dari mana dan kami akan melihat situasi sebenar," katanya.
Spekulasi itu timbul selepas terdapat laporan bahawa Presiden Barcelona, Joan Laporta mahu mendapatkan khidmat pemain Brazil itu.
Pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan Neymar dengan perbincangan dikatakan sudah berlaku sejak awal tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!