Nafuzi lega Sang Kenari kembali ke landasan kemenangan
KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain lega pasukan tersebut kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi ke-19 Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.
Menurutnya, momentum tersebut penting buat Sang Kenari selepas mereka tewas mengejut 1-3 kepada Perak FC pada perlawanan pertama Piala Malaysia 2023 pada minggu lalu.
"Saya tengok malam ini, kita bermain dengan karakter dan mentaliti yang berbeza kalau kita tengok di awal hingga ke akhir perlawanan ini.
"Kita bermain dengan pasukan yang baik seperti Pahang mempunyai kualiti pemain yang bagus, bukannya senang (untuk menang) kerana kita tengok mata kita pun sama (sebelum perlawanan), jadi perlawanan malam ini penting.
"Kita bermain dengan tekanan setelah kalah perlawanan sebelum ini, jadi saya rasa dari segi karakter berubah pada malam ini," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.
Mengulas penampilan J Partiban pada aksi kedua bersama Sang Kenari, Nafuzi melihat pemain yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Pemain Liga Malaysia 2023 itu masih perlu diberikan peluang bagi menyesuaikan diri dengan taktikal pasukannya walaupun berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan itu.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan KDA FC berpeluang untuk menamatkan saingan di tempat terbaik pada musim ini jika Sang Kenari berjaya mengekalkan tempo dan momentum kemenangan.
"Bagi saya peluang kita ada (mengejar Selangor di kedudukan kedua Liga Super). Perkara ini bergantung kepada pasukan kita sendiri.
"Tapi agak sukar tapi tak mustahil. Kita selepas ini dalam tempoh berdepan dengan pasukan besar seperti Penang, Johor Darul Ta'zim dan Kuala Lumpur City yang bagi saya agak mencabar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!