Dua nelayan asing tanpa dokumen ditahan
PARIT BUNTAR - Dua nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dalam pemeriksaan di kedudukan 2.4 batu nautika selatan Pulau Sangga Besar di sini pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, dua lelaki yang mengendalikan bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda itu ditahan sekitar jam 9.50 malam semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.
"Bot itu dikesan sedang bergerak dan hasil pemeriksaan menemukan dua nelayan termasuk tekong berusia 28 dan 40 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Mohd Najhan berkata, kedua-dua nelayan bersama bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!