Hangzhou 2022: Nur Dhabitah Sabri berperang dengan masa

Nur Dhabitah
Nur Dhabitah
A
A
A

PENERJUN elit negara, Nur Dhabitah Sabri berperang dengan masa untuk mencapai sasarannya beraksi dalam acara 10 meter (m) platform pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Berbaki kurang dua bulan, Nur Dhabitah berkata, acara itu bukan antara pilihan jurulatihnya ketika ini disebabkan beliau masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan pergelangan tangan kiri.

Namun, atlet berusia 24 tahun itu menegaskan tetap mahu bertanding dalam acara tersebut sama ada individu ataupun seirama wanita bergandingan bersama Datuk Pandelela Rinong sekiranya berada pada tahap terbaik.

“Perancangan jurulatih adalah 1m papan anjal individu, 3m papan anjal individu dan seirama, dia tak masukkan 10m platform tetapi saya katakan saya mahu acara itu.

“Dia kata bergantung keadaan tangan, jika saya boleh buat mungkin satu acara perlu ditolak kerana empat terlalu banyak, saya bukan berumur 20 tahun lagi,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad terjun di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil. Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nur Dhabitah mengakui merindui aksi 10m platform yang menyaksikan pingat gangsa seirama wanita di Kejohanan Dunia 2022 menjadi pencapaian tertinggi diraihnya setakat ini dalam acara itu, selain merangkul dua perak di Sukan Komanwel, satu gangsa di Sukan Asia dan dua emas di Sukan SEA dalam acara sama.

“Ketika saya sertai skuad kebangsaan jurulatih sebelum ini terus latih saya untuk 10m dan 3m, ia seperti darah daging saya, ada ketika saya rasa 10m lebih mudah dan esoknya 3m lebih mudah, sekurang-kurangnya saya ada pilihan di situ,” katanya.

Nur Dhabitah berkata, jurulatihnya optimis beliau berpeluang besar dalam acara 1m individu wanita sekiranya mampu meningkatkan darjah kesukaran terjunan, sekali gus belum mempunyai pilihan jika perlu menggugurkan salah satu acara.

Artikel Berkaitan:

Pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun bulan lalu, Nur Dhabitah yang mengalami kecederaan sejak beberapa bulan hanya membuat terjunan daripada ketinggian 5m sambil berharap dapat ke paras 7m diikuti 10m secepat mungkin.

“Doktor hanya memberi nasihat dan jangkaan bila saya akan pulih sepenuhnya, tetapi ia bergantung kepada keadaan tubuh saya.

“Sekarang buat 5m rasa sakit dah kurang, kalau betul-betul kuat baru saya akan naik 7m dan 10m. Rasa sakit itu bila impak daripada entry, rasa sakit tu akan 'tarik' sampai ke bahagian atas sehingga jadi kebas,” kata atlet kelahiran Kuala Lumpur itu.

Hangzhou 2022 bakal menjadi penampilan ketiganya berturut-turut di pentas Sukan Asia sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!