Perak tubuh jawatankuasa berkaitan WCE

Ahmad Faizal (tengah) bersama barisan exco kerajaan negeri dan Soon Hong (dua dari kanan) pada sidang media, di sini hari ini.
Ahmad Faizal (tengah) bersama barisan exco kerajaan negeri dan Soon Hong (dua dari kanan) pada sidang media, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi merancang pembangunan di sepanjang jajaran lebuhraya tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut berkata, beberapa jabatan dan agensi turut dilibatkan dalam jawatankuasa itu.

Menurutnya, selain itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa itu pula merupakan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

"Kita juga telah melantik pihak WCE sebagai penasihat kepada jawatankuasa untuk membincangkan bagaimana kita dapat memaksimumkan limpahan ekonomi kepada rakyat Perak di sepanjang jajaran WCE.

"Sebanyak lima daerah terlibat dengan jajaran WCE ini tetapi fokus akan diberikan lebih kepada daerah Bagan Datuk yang kita dapati ia agak terkebelakang," katanya pada sidang di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Exco-exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Urusan WCE, Datuk Neoh Soon Hong.

Ahmad Faizal berkata, beberapa cadangan daripada pegawai-pegawai daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat sudah mengemukakan beberapa cadangan pembangunan di kawasan masing-masing.

Katanya, cadangan tersebut perlu diperhalusi oleh pihak pejabat daerah dan pihak-pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah menetapkan tempoh sebulan untuk pejabat-pejabat daerah mengadakan perbincangan di kawasan masing-masing dan kita akan perhalusi cadangan pada masa akan datang.

"Selepas itu akan diteruskan dengan tindakan-tindakan bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kepentingan rakyat," katanya.

Katanya, selain Bagan Datuk, peluang untuk memajukan kawasan terpencil lain seperti daerah Hilir Perak dan Perak Tengah cukup tinggi memandangkan harga tanah di kawasan itu masih rendah berbanding Selangor dan Pulau Pinang.

Sementara itu, ditanya mengenai pembukaan jajaran lebuhraya tersebut yang dijadual sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Ahmad Faizal berkata, perkara itu akan diumumkan pada 20 Mei nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!