IMT-GT kolaborasi tiga negara urus sumber lestari

Saarani (tengah) bersama Sakorn Thongmunee (kanan) dan Ahmad ketika Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand kali ke-6 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Saarani (tengah) bersama Sakorn Thongmunee (kanan) dan Ahmad ketika Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand kali ke-6 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Pertumbuhan Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) menjadi platform penting untuk tiga negara berkolaborasi menguruskan sumber dan alam sekitar secara lestari.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu menjadi sebahagian strategi utama yang menjadi tumpuan ketiga-tiga negara tersebut.

Menurutnya, strategi itu turut melibatkan usaha meningkatkan dan melaksanakan Inisiatif Bandar Hijau di seluruh sub-wilayah negara-negara yang terlibat selain memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan dan pemulihan ekosistem di kawasan bersempadan.

"Bila kita kata akan melakukan pengurusan secara lestari dalam aspek-aspek itu sama ada air, hutan dan sebagainya, ia memerlukan pertama ialah kerjasama di antara ketiga-tiga negeri ini dan perlu ada kefahaman bersama.

"Contohnya, jika berlaku jerebu, ia akan menjejaskan keseluruhan kita, jadi sebab itu memahami cara kaedah pengurusan hutan itu penting.

"Jadi itu contoh kita katakan bagaimana kolaborasi bagi ketiga-tiga segitiga ini sangat penting dan berlaku sejak sekian lama, bukan jerebu sahaja, kita di bawah khatulistiwa yang sama, hutan pun hutan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand kali ke-6 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Delegasi Kerajaan Thailand, Leftenan Jeneral Polis Sakorn Thongmunee, Ketua Delegasi Republik Indonesia, Ahmad serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Saarani berkata, objektif utama mesyuarat tersebut diadakan untuk menyelia dan memantau kemajuan Rangka Kerja Pembangunan Bandar Lestari (SUDF).

Artikel Berkaitan:

Katanya, mesyuarat juga bertujuan menangani pelbagai cabaran alam sekitar dan sosial dengan menggalakkan pengurusan sumber bertanggungjawab, mengurangkan pencemaran dan sisa serta memupuk masyarakat yang lebih saksama dan berdaya tahan.

Jelasnya, kesimpulan dan dapatan diperoleh daripada mesyuarat akan diumumkan pada Forum Ketua Menteri dan Gabenor, yang akan diadakan pada 27 September 2023 di Batam, Indonesia.

Sementara itu, Saarani menyifatkan IMT-GT itu juga turut memberi manfaat kepada negeri Perak bagi mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024.

"Kita bersempadan dengan Indonesia dan Thailand, jadi kita ambil kesempatan atau peluang perjumpaan ini untuk kita mempromosikan Perak sekurang-kurangnya kepada jiran kita Indonesia dan Thailand.

"Waktu yang sama juga tahun 2023 hingga 2025 adalah tahun melawat IMT-GT, jadi kita kolaborasi antara satu sama lain dan kita harap dapat membantu mempromosikan Malaysia apatah lagi Perak tahun depan kita Tahun Melawat Perak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!