MyLesen B2 bukan 'lesen terbang'

Hasbi (dua dari kiri) memakaikan jaket keselamatan kepada penerima, Muhammad Syahril Saidi, 18, (tengah) pada Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kelantan di Bachok.
Hasbi (dua dari kiri) memakaikan jaket keselamatan kepada penerima, Muhammad Syahril Saidi, 18, (tengah) pada Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kelantan di Bachok.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pengangkutan mengesahkan pemilik lesen motosikal yang diperoleh melalui Program MyLesen B2 adalah kompeten sepertimana pemilikan lesen biasa daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.

Timbalan menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, peserta program berkenaan perlu melalui prosedur sedia ada bagi mendapatkan lesen meliputi Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu 01 (KPP01), Ujian Komputer Lesen Memandu, Lesen L, KPP02, KPP03, Pra Ujian dan Ujian Praktikal JPJ.

“Lesen ini diberikan secara percuma dengan kos ditangguh 100 peratus dan pada masa sama mereka dipastikan betul-betul layak serta terjamin keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Peserta program MyLesen B2 perlu mengikuti kelas teori dan praktikal yang sama. Mereka tidak ada jalan pintas dan lesen ini ialah kompeten serta bukan ‘lesen terbang’,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kelantan di Pejabat Pendidikan Daerah di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Pada majlis itu, 900 peserta dari Kelantan menerima lesen dan 300 daripada mereka turut memperoleh sumbangan topi keledar tajaan Malaysia Rail Link (MRL).

Hasbi berkata, pemilik lesen MyLesen B2 juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar peraturan-peraturan jalan raya.

“Mereka tidak kebal, kalau melanggar peraturan jalan raya tetap akan dikenakan saman seperti pemilik lesen yang lain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut beliau, walaupun lesen itu diberikan percuma, pihaknya akan memastikan kesemua 9,000 peserta di seluruh negara mengikuti kursus hingga tamat agar mencapai hasrat kerajaan untuk membantu golongan memerlukan melalui MyLesen B2.

Katanya, keutamaan mendapat lesen ini diberikan kepada golongan B40, orang kurang upaya (OKU), asnaf zakat, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih.

“Sebab lesen percuma, kita tidak mahu peserta mengambil mudah dan akan pastikan mereka mengikuti kursus sehingga layak mendapat lesen.

“Bagi peserta yang gagal kali pertama juga akan dibantu sehingga berjaya,” kata Hasbi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!