Liek Hou akui semakin serasi beraksi bersama Fareez

Liek Hou (kiri) akui gembira perkembangan positif dilakar bersama Muhammad Fareez.
Liek Hou (kiri) akui gembira perkembangan positif dilakar bersama Muhammad Fareez.
A
A
A

JAGUH badminton para negara Cheah Liek Hou mengakui semakin serasi beraksi bersama Muhammad Fareez Anuar bagi acara beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Sejak digandingkan tahun lalu, Liek Hou mengakui gembira melihat perkembangan positif dilakar bersama Muhammad Fareez apabila berjaya menggondol empat gelaran antarabangsa termasuk dua kejuaraan tahun ini iaitu Kejohanan Badminton Para Sepanyol Antarabangsa II dan Kejohanan Badminton Para Brazil.

Sehubungan itu, juara bertahan Sukan Paralimpik itu berazam meneruskan kemaraan pada Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, Oktober ini.

Katanya, mereka yang kini bergelar pasangan nombor dua terbaik dunia kategori tersebut berharap sekurang-kurangnya mampu ke final pada aksi di Hangzhou nanti.

“Jika menang emas, pastinya ia satu bonus bagi kami,” katanya.

Liek Hou sebelum ini pernah meraih emas beregu lelaki SU5 Sukan Para Asia dua kali berturut-turut bersama Suhalli Laiman pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan seterusnya di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Dalam pada itu, pemain berusia 35 tahun itu berkata impian merampas semula emas perseorangan lelaki SU5 daripada musuh ketatnya Dheva Anrimusthi dari Indonesia, tetap menjadi fokus utama pada Sukan Para Asia 2022.

Liek Hou berkata, memandangkan umurnya kian meningkat, beliau yang juga pemain ranking pertama dunia itu perlu memastikan dirinya lebih berhati-hati dalam sesi latihan bagi mengelak sebarang kecederaan serius yang mampu menggugat peluangnya di China nanti.

Artikel Berkaitan:

“Saya perlu jaga keadaan tubuh saya, kalau nak 'push' dalam latihan kena berpada-pada,” katanya.

Sebagai rekod, Sukan Para Asia 2022 dijadual membuka tirai pada 22 dan berlangsung sehingga 28 Oktober ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!