'Saya hanya jadi diri saya, popular bukan prioriti' - Khizri
SIK - Pentas politik tidak seharusnya menjadi platform melemparkan kata-kata kesat mahupun fitnah kepada pihak lawan sebaliknya setiap calon harus mengamalkan konsep politik matang dan sejahtera.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berkata, sepanjang tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, beliau sentiasa mengingatkan diri agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat mahupun fitnah.
"Saya hanya lantang bila berceramah atau berucap (itu pun) hanyalah dari isi hati saya, bagaimanapun saya tidak memfitnah dan menggunakan perkataan kesat.
"Saya takkan menyerang peribadi lawan, saya hanya menjelaskan apa yang saya akan buat seandainya dipilih, saya rasa itu konsep politik matang dan sejahtera," jelasnya.
Menurut Muhamad Khizri, biarpun sukar untuk mencabar penyandang iaitu Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, namun tidak mustahil perubahan boleh berlaku.
"Saya sedar bukan senang tetapi tidak mustahil kerana saya sedar MB hari ini sangat popular. Di mana-mana sahaja berceramah atau melalui media sosial dapat menarik minat, tetapi semuanya akan kita ketahui, diterjemahkan pada 12 Ogos nanti.
"Saya hanya jadi diri saya, popular bukan prioriti kepada saya tetapi bila turun jumpa (rakyat) beri penjelasan untuk kebaikan pembangunan di sini saya rasa, saya boleh (menang)," jelasnya.
Katanya, jika dipilih sebagai wakil rakyat, perkara pertama yang dijanjikan ialah memohon agar disediakan kelas Tingkatan Enam untuk memberi peluang kepada anak tempatan menyambung pengajian.
“Selain itu, saya akan membuat susulan projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang tertangguh sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap dapat mengubah nasib penduduk di kawasan itu dengan merancakkan ekonomi sekali gus menyediakan peluang pekerjaan bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan.
Muhamad Khizri mewakili UMNO bakal berentap satu lawan satu di kerusi DUN Jeneri dengan Muhammad Sanusi mewakili calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Kedah kali ini.
Pada PRU14, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri selepas menewaskan penyandang, Mahadzir Abdul Hamid dari UMNO manakala calon PKR diwakili Mohd Nazri Abu Hassan.
DUN Jeneri mempunyai kira-kira 35,079 pengundi dengan lebih 90 peratus daripadanya adalah Melayu.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!