Ahmad Zahid cabar Muhyiddin panggil menantu pulang
PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meminta menantunya pulang dari luar negara bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, menantu bekas perdana menteri itu, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan tidak sepatutnya takut atau lari jika tidak bersalah.
Beliau berkata, situasi itu menimbulkan pelbagai sangkaan berkaitan kes yang sedang disiasat suruhanjaya berkenaan.
“Kalau bapa mentuanya mendabik dada memberitahu konon kerajaan atau dirinya itu bersih, panggillah menantu itu pulang untuk menghadapi perbicaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat Perumahan Nelayan Tok Bali di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri tidak melarikan diri dan berdepan pertuduhan serta hadir ke mahkamah untuk membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kes-kes yang dihadapi melibatkan SPRM.
“Saya memang mengaku tidak bersalah dan tidak pernah lari ke luar negara.
“Saya berani menghadapi perbicaraan, tak ada masalah. Kalau tidak bersalah, kenapa takut atau lari. Buktikan di mahkamah,” ujar beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, SPRM akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen bagi membekukan pasport Muhammad Adlan, yang merupakan menantu Muhyiddin dan seorang lagi individu kerana diperlukan bagi isu rasuah, penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Bagaimanapun, Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM kesan dua individu termasuk menantu Muhyiddin
Muhyiddin enggan ulas status menantu dicari SPRM
Muhyiddin dicabar dedah lokasi menantu, bantu siasatan SPRM
Menantu Muhyiddin nafi larikan diri ke luar negara - PeguamAhmad Zahid cabar Muhyiddin minta menantu pulang
Dakwaan rasuah: Menantu Muhyiddin tak perlu lari jika tidak bersalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!