Ada usaha bawa pengundi hantu pada Sabtu ini
PERMATANG PAUH - Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa wujud usaha terdesak pihak tertentu untuk memanipulasi undi dengan membawa 'pengundi hantu' semasa hari pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Amar, antara yang dilakukan dengan cara menyewa kad pengenalan pengundi di sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mendapat bayaran tertentu.
Menurutnya, kad pengenalan itu akan digunakan oleh individu lain semasa hari mengundi sebelum dipulangkan kepada pemiliknya selepas selesai pilihan raya.
"Modus operandinya adalah dengan mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu DUN, terutamanya anak muda dengan balasan berbentuk wang.
"Kemudian kad pengenalan tersebut akan digunakan oleh pengundi hantu untuk mengundi sesuatu parti tertentu dan kami percaya ini merupakan suatu skandal penipuan pilihan raya yang terdesak dengan kaedah menyewa kad pengenalan pengundi sebagai cubaan terakhir untuk memperoleh kemenangan secara kotor, tidak bersih dan tidak adil," katanya pada sidang akhbar di Dewan Pas Yusuf Ar-Rawa di sini pada Rabu.
Mohamad Ikhwan Afiq berkata, gerakan mengumpul kad pengenalan tersebut didakwa dilakukan ketika siri kempen rumah ke rumah.
Selain itu, katanya, ada perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi untuk memenangkan sesuatu parti tertentu.
"Pilihan raya sepatutnya menjadi sebuah padang yang rata untuk semua pihak bertanding secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang, tidak kira sama ada yang bertanding itu adalah parti daripada kerajaan semasa, pembangkang mahupun
calon Bebas.
"Skandal penipuan pilihan raya seperti ini tidak akan mematangkan demokrasi di negara ini. Malah, membawa Malaysia semakin terbelakang dengan kaedah lapuk untuk memenangi pilihan raya,"katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk membuat laporan polis berikutan belum mempunyai bukti kukuh berhubung kegiatan tersebut.
Beliau mengingatkan pengundi dapat memberi kerjasama dan berusaha membanteras serta mencegah skandal penipuan terbabit lebih awal sebelum ianya berlaku.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!