Sokongan kepada calon BN-PN semakin meningkat - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan) bersalaman bersama penduduk setempat sempena Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Perumahan Nelayan Tok Bali pada Rabu. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid (kanan) bersalaman bersama penduduk setempat sempena Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Perumahan Nelayan Tok Bali pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semakin di terima pengundi di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Pengerusi Barisan Nasional BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, biarpun begitu beliau mahu semua jentera BN dan PH yang sedang bekerja di lapangan tidak alpa dan waspada dengan sebarang tindakan parti lawan.

"Saya mungkin agak ‘bias’, (namun) melihat bahawa angin perubahan ini telah sangat ketara untuk memihak kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani ini.

"Saya berpuas hati dengan kerja kuat diperlihatkan oleh jentera-jentera kita. Namun di saat akhir ini pasti lawan politik kita akan terus mendesak dan mengasak serta melakukan pelbagai strategi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Perumahan Nelayan Tok Bali pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman dan calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Marshella Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut meminta supaya jentera dan penyokong BN supaya bersama-sama memainkan peranan menarik sokongan semua seterusnya membantu kemenangan BN-PH pada 12 Ogos nanti.

"Jangan berpuas hati untuk menggamit dukungan pengundi kita sahaja, inilah ketika paling sesuai untuk mengajak rakan-rakan yang tidak ada parti untuk mendukung calon-calon kita. Di Kelantan khususnya terdapat beberapa teras dalam akujanji (manifesto) ditawarkan Kerajaan Perpaduan ini sekiranya menang 12 Ogos nanti dan membentuk kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai peluang BN-PH di Kelantan, Ahmad Zahid berkata, beliau melihat sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan juga semakin meningkat di negeri yang ditadbir PAS itu.

"Momentum itu pasti memihak kepada kita, saya berada di dalam Jelajah Madani di Kota Bharu, Tanah Merah dan Jeli. Saya tidak pernah melihat sambutan yang begitu memberangsangkan.

"Namun kita harap juga anak-anak Kelantan yang bakal mengundi dan berada di luar negeri ini demi kepentingan ibu bapa, kampung halaman berilah peluang kali ini kepada calon BN dan PH untuk membuktikan bahawa kami boleh melakukan lebih baik berbanding kerajaan negeri sekarang," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!