PRN Selangor: Enam calon PH-BN yakin menang

Mohd Yahya (duduk, tengah) pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar pada Rabu.
Mohd Yahya (duduk, tengah) pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Enam calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga Parlimen yakin sudah melepasi tahap sokongan 51 peratus untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Sabtu ini.

Enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini menang itu adalah Permatang yang diwakili Mohd Yahya Mat Sahri (PKR), Sungai Air Tawar (Datuk Rizam Ismail - BN), Sabak (Samad Hashim - Parti Amanah Negara).

Tiga lagi DUN ialah Sungai Panjang (Datuk Mohd Imran Tamrin - BN), Sekinchan (Ng Suee Lim - DAP) dan Sungai Burong (Mohamad Khir Ramli - BN).

Mohd Yahya berkata, keyakinan itu berdasarkan pertemuan dengan pengundi di DUN masing-masing.

"Melihat gerak kerja kempen yang dilaksanakan sepanjang 11 hari ini keseluruhannya telah menemui pengundi pelbagai peringkat dan kaum menunjukkan sambutan sangat positif," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini, pada Rabu.

Mohd Yahya berkata, prestasi ditunjukkan Kerajaan Perpaduan pada ketika ini juga dilihat menambah momentum sokongan rakyat kepada gabungan berkenaan.

"Setakat malam tadi, kami yakin enam DUN ini dapat menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor," tambahnya.

Beliau memberitahu, meskipun ketiga-tiga Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dimenangi pembangkang, namun optimis PRN kali ini memihak kepada gabungan PH dan BN.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat berasakan mereka tersalah pilih (PRU15) lalu kerana ketiga-tiga wakil rakyat (Parlimen) gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

"Keresahan ini punca utama rakyat di tiga Parlimen tidak akan beri undi kepada calon pembangkang," kata beliau.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!