Kerajaan rangka program lebih baik kurangkan tekanan hidup rakyat - PM
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang merangka untuk melaksanakan program yang besar dan lebih baik bagi mengurangkan tekanan hidup rakyat dalam Belanjawan Madani kedua pada Oktober nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam program itu kerajaan turut berhasrat agar Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memainkan peranan mengangkat martabat rakyat yang miskin.
"Kalau ditanya mengapa? Saya berkata saban minggu bicara soal kemiskinan. Sebabnya kita orang Islam tahu tanggungjawab kita...orang yang memakan harta anak yatim dan tidak memelihara kepentingan orang miskin itu disebut dalam al-Quran, (sebagai) orang yang mendustakan agama. Ini soal yang berat jadi kalau saya sekarang ini ada amanah sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh pandang ringan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Terengganu di sini, pada Rabu.
Anwar berkata, beliau begitu bertekad untuk memperjuangkan nasib rakyat yang miskin kerana yakin martabat rakyat boleh diangkat sekiranya negara dipimpin oleh golongan yang prihatin dan menolong rakyat miskin.
"Malaysia ini negara kaya. Dahulu ada balak berpuluh-puluh bilion ringgit, ada bijih timah, ada minyak dan gas tetapi belum tentu ada pemimpin yang penuh bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Anwar turut meminta pengurusan AIM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia mencari jalan meningkatkan mutu pendidikan anak-anak mereka (peserta) sebagai usaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
"...terutamanya dalam bidang Sains dan Matematik. Tuan puan kena tahu, minat anak-anak kita dalam dua bidang ini semakin menurun, sedangkan ia bidang yang penting. Jadi kena cari jalan tambahan.
"Sebab anak-anak kita ini, kalau nak angkat kedudukan lebih baik dari dulu mesti melalui pendidikan yang baik. Sebab itu bila saya ambil alih kerajaan ini antara tumpuan saya," katanya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Pengerusi Lembaga Pengarah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!