Skuad basikal para raih gangsa di Glasgow
BARISAN pelumba para menceriakan kem negara apabila meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan campuran B (cacat penglihatan) pada Kejohanan Dunia Trek Berbasikal Para di Glasgow pada Selasa.
Nur Suraiya Zamri-Farina Shawati Adnan (pengemudi) dan Khairul Hazwan Wahab-Khairul Adha Rasol (pengemudi) mencatat masa 51.393 saat (s) untuk menewaskan barisan pelumba Amerika Syarikat (51.990s) dalam penentuan tempat ketiga di Velodrom Sir Chris Hoy.
Pingat emas menjadi milik Britain yang merakam 49.992s untuk mengalahkan Itali (51.264s) dalam perlumbaan akhir.
Jurulatih skuad para negara, Sallehuddin Mohd Noh menyifatkan penyertaan kali ini amat penting buat pelumba negara dalam misi memburu slot ke temasya Paralimpik Paris 2024.
“Alhamdulillah. Hari terakhir bagi sukan para trek ini kita tamatkan dengan kejayaan meraih pingat gangsa.
“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan mendoakan kejayaan kami di sini dan juga kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk mengiringi kejayaan ini,” katanya.
Catatan masa 51.393 yang mereka lakar di Glasgow kali ini mengatasi masa peribadi 52.415 yang sebelum ini dibuat pada kejohanan sama tahun lalu di Paris.
Sebagai rekod penyertaan pada kejohanan ini juga adalah kejohanan wajib untuk mengekalkan dua slot kelayakan ke Paralimpik Paris 2024.
Tumpuan pasukan para negara selepas ini akan beralih ke acara lebuhraya yang akan berlangsung di Dumfries, Scotland pada Khamis.
Kejohanan Para dunia berjalan serentak di velodrom yang sama dengan kejohanan dunia di Glasgow.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!