Setahun PH: Satu teguran kritikal

No Image Caption
A
A
A

SEMPENA kehadiran Ramadan yang mulia ini, eloklah kiranya seluruh ahli politik dan anggota pentadbiran Pakatan Harapan (PH) merenung sejenak kelemahan mereka sejak mengambil alih Putrajaya setahun yang lalu.

Langkah ini bukan sahaja penting bagi memastikan bahawa kelemahan-kelemahan ini tidak diulangi lagi dalam tahun-tahun yang berikutnya, tetapi juga untuk memacu negara ke landasan yang lebih baik. Sepanjang 365 hari Pakatan di tampuk kuasa, terdapat satu isu utama yang kritikal dan wajib ditangani segera dari perspektif pentadbiran dan pemerintahan – bukan serangan pembangkang, bukan perselisihan dengan Istana, bukan pertelagahan dengan mufti, bukan komunikasi dengan media – tetapi ketidakserasian pemimpin Pakatan dengan para birokrat yakni kakitangan awam di pelbagai peringkat.

Paling kritikal tentulah hubungan di peringkat atas antara para Menteri Pakatan dengan elit birokrat seperti Ketua Setiausaha (KSU), Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), dan para Setiausaha Bahagian (SUB).

Memang benar, banyak pihak meletakkan kesalahan ke atas bahu para menteri yang masih kurang berpengalaman dalam berhadapan dengan media sebagai anggota kerajaan – hinggakan kelemahan berhadapan dengan media itu diangkat sebagai punca utama yang mengundang sesetengah persepsi buruk kepada kerajaan hari ini.

Namun begitu, hakikatnya akar masalah yang utama ialah kelemahan koordinasi antara para menteri dengan para birokrat di kementerian masing-masing; dalam sesetengah keadaan, sudahlah menteri yang dilantik tidak memiliki kepakaran atau latar pendidikan yang relevan dengan kementeriannya, diburukkan pula dengan hubungan yang kurang erat dengan para birokrat yang jauh lebih berpengalaman di kementerian mereka.

Akibatnya, terdapat terlalu banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh para menteri yang mengundang kritikan awam dan keluhan pihak pemegang taruh yang lain seperti pihak industri dan para pelabur.

Tidak hairanlah apabila terdapat sebegitu banyak keputusan yang ditarik balik dalam masa yang singkat.

Antara punca situasi sebegini berlaku ialah pengagihan tugas yang kurang sesuai kepada individu lantikan politik menteri yang berkenaan – membelakangi kepakaran dan pengalaman para birokrat – susulan rasa kurang percaya yang terbit kerana sangkaan politik yang kurang baik.

Artikel Berkaitan:

Antaranya seperti mana tanggapan aktivis Parti Amanah Negara, Dr Muhaimin Sulam tentang ‘angkara birokrat jahat dalam Malaysia Baharu’ di mana menurut beliau “Sistem birokrasi di jabatan kerajaan yang ada pada hari ini adalah tinggalan rejim Najib Razak dan partinya selama berdekad-dekad”.

Beliau turut menyatakan bahawa “Birokrat yang jahat membentuk kartel yang bersifat seperti mafia” dan “kaum birokrat tidak akan hilang kuasanya sebagaimana berlaku kepada ahli politik yang kalah dalam pilihan raya.”

Akhirnya, beliau mengatakan bahawa “Slogan PH yang mahu memberi kebebasan kepada kaum birokrat adalah pintu untuk mereka bebas membolot faedah daripada jabatan masing-masing.”

Kenyataan Dr Muhaimin Sulam ini senada dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang mendakwa terdapat penjawat awam yang cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan PH.

Namun begitu, persepsi yang sebegini buruk kepada para PTD dan birokrat telah dikritik sendiri oleh Tun Daim Zainuddin yang mengingatkan pemimpin PH agar memberikan kepercayaan kepada kumpulan itu jika mereka ingin terus untuk berkuasa.

Daim bahkan memberi amaran bahawa kerajaan akan “mati” jika tidak mula bekerja bersama dengan lebih 1.6 juta tenaga perkhidmatan awam.

Beliau turut mendedahkan bahawa ramai penjawat awam menyatakan rasa tidak puas hati mereka mengenai pelantikan politik oleh para menteri PH hari ini.

Sesungguhnya, para sarjana sejak sekian lama telah memberi ingatan tentang pentingnya hubungan yang harmoni antara pemimpin politik yang menguasai kuasa eksekutif dengan para pentadbir yang menerajui badan birokrat.

Joel Aberbach, Robert Putnam, dan Bert Rockman dalam karya mereka berjudul Bureaucrats and Politicians in Western Democracies terbitan Harvard University Press (1981) menjelaskan empat bentuk hubungan pemimpin politik dengan birokrat iaitu dasar-pentadbiran, fakta-kepentingan, tenaga-keseimbangan, dan hibrid.

Namun begitu, selagi mana individu lantikan politik diberi lebih banyak autonomi oleh menteri, hubungan mereka dengan birokrat pasti tidak akan bertambah baik.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!