'PN tak akan dapat bentuk kerajaan Pusat walau menang 6 PRN'

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas merasmikan Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Taman Nilam, Ayer Hangat hari ini. - Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas merasmikan Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Taman Nilam, Ayer Hangat hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengingatkan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan dapat membentuk kerajaan walaupun menang kesemua enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai seramai 148 ahli Parlimen yang kesemuanya terikat dengan Akta Anti Lompat Parti termasuk daripada Sabah dan Sarawak.

“Kalau mereka lompat parti, kerusi mereka akan kosong. Jadi, PN tetap tidak boleh membentuk kerajaan dengan adanya akaun bersumpah ini.

“Ini pun tidak difahami oleh seorang presiden sebuah parti (Tan Sri Abdul Hadi Awang),” kata beliau ketika sidang akhbar selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat Perumahan Nelayan Tok Bali di sini pada Rabu.

Menurutnya, Abdul Hadi sepatutnya tahu perkara yang boleh atau tidak dalam membentuk sesebuah kerajaan selain mengharapkan kerajaan sedia ada kekal.

“Saya berharap apa-apa pun yang berlaku di negeri-negeri pada PRN ini, tidak akan merubah kedudukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya," katanya.

Ahkbar sebelum itu melaporkan Presiden Pas dalam ceramahnya di Setiu, Terengganu pada Selasa sekali lagi mendakwa kemenangan PN pada PRN, 12 Ogos ini akan membolehkan terjadi perubahan dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu berkata, satu kerusi di Pulai, Johor kosong selepas penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH akan ada pilihan raya kecil dan kita akan memperkenalkan calonnya,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!