Jenazah Sinead O'Connor dikebumi berlandaskan syariat Islam

Jenazah O'Connor atau Shuhada Sadaqat dibawa berarak di kampung halamannya Bray, Ireland. - AFP
Jenazah O'Connor atau Shuhada Sadaqat dibawa berarak di kampung halamannya Bray, Ireland. - AFP
A
A
A

LONDON - Penyanyi pop Ireland, Sinead O'Connor yang meninggal dunia pada hujung bulan lalu di London, dikebumikan di Ireland pada Selasa dengan mengikut syariat Islam, lapor Agensi Anadolu.

Ribuan orang ramai termasuk penyanyi Ireland, Bono dan Bob Geldof menghadiri upacara pengebumian rakan sekampungnya di Bray, terletak 20 kilometer di selatan ibu negara Dublin.

Kenderaan yang membawa jenazahnya dikerumuni peminatnya ketika ia melalui jalan Bray di mana Allahyarham menetap di situ selama 15 tahun.

Kemudian, kenderaan itu berhenti di luar rumahnya bagi membenarkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.

Difahamkan, Ulama Islam dan Ketua Imam di Pusat Islam Ireland, Umar Al-Qadri mengetuai upacara pengebumian tersebut.

"Allahyarham dikurniakan suara yang lunak sehingga menggerakkan generasi muda dan membuatkan mereka menangis," katanya.

O'Connor yang memeluk Islam pada tahun 2018 dan menukar nama kepada Shuhada Sadaqat, masih meneruskan persembahan semasa hayatnya menggunakan nama Sinead O’Connor.

Presiden Ireland, Michael Higgins dan isterinya, Sabrina serta Perdana Menteri, Leo Varadkar turut menghadiri upacara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Limpahan kesedihan dan penghargaan terhadap kehidupan dan kerja Sinead O'Connor menunjukkan kesan mendalam kepada rakyat Ireland," katanya.

O'Connor, 56, yang mengeluarkan 10 album studio termasuk single hit tahun 1990 bertajuk 'Nothing Compares 2 U, meninggal dunia pada 26 Julai, iaitu 18 bulan selepas kematian anak lelakinya, Shane yang berusia 17 tahun.

Penyanyi itu meninggal dunia di rumahnya, walaupun punca kematiannya masih belum didedahkan kepada umum.

"Sedih mendengar pemergian Shuhada Sadaqat, juga dikenali sebagai Sinead O'Connor.

"Dia adalah seorang yang lembut jiwanya, semoga ALLAH Yang Maha Penyayang, memberinya kedamaian abadi. Inna lillahi wa inna ilayhi rajioon (Kami datang dari ALLAH dan kepada ALLAH kami akan kembali)," kata penyanyi British Yusuf Islam, sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!