Skuad ragbi wanita negara tekad gegar Nepal

Rashid (belakang lima, kiri) bersama para pemain di padang Dataran Labuan bagi persiapan Kejohanan Ragbi Wanita B-20 2023 di Kathmandu, Nepal pada 17 hingga 24 Ogos ini. - Foto: Bernama
Rashid (belakang lima, kiri) bersama para pemain di padang Dataran Labuan bagi persiapan Kejohanan Ragbi Wanita B-20 2023 di Kathmandu, Nepal pada 17 hingga 24 Ogos ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SKUAD ragbi wanita negara bersedia mempamerkan kehebatan mereka di pentas antarabangsa pada Kejohanan Ragbi Asia 7 Sebelah Bawah 20 Tahun 2023 di Kathmandu, Nepal dari 19 hingga 20 Ogos ini.

Presiden Persatuan Ragbi Labuan (LRA) Abdul Rashid Adlie yang juga Chef de Mission atau Ketua Kontinjen skuad ragbi wanita Malaysia berkata beliau yakin dengan tahap persediaan pasukan yang menunjukkan dedikasi dan ketahanan mereka semasa sesi latihan yang dikendalikan oleh mentor berpengalaman daripada LRA dan disokong oleh Kesatuan Ragbi Malaysia.

Beliau berkata dengan latihan yang ketat dan keazaman yang tidak berbelah bahagi, atlet muda ini bersedia mewakili negara dan mencipta kejayaan dalam kejohanan itu yang akan diadakan di Dasharath Stadium di Tripureshwor, Kathmandu.

"Pemain telah menumpukan perhatian untuk memperhalusi teknik, meningkatkan kecergasan fizikal mereka dan membangunkan pemahaman mendalam tentang kerja berpasukan - semua komponen penting untuk kejayaan di atas padang.

"Kami telah berusaha meningkatkan kemahiran individu dan strategi kolektif untuk memastikan kami menghampiri kejuaraan dengan keyakinan dan keazaman," katanya selepas sesi latihan di padang Dataran Labuan.

Rashid berkata skuad ragbi wanita terdiri daripada gabungan pemain berpengalaman dan bakat baharu yang kesemuanya bersemangat untuk menyumbang yang terbaik bagi kejayaan pasukan.

Beliau berkata LRA diberi kepercayaan untuk menyenaraikan pemain bagi kejohanan itu dan daripada 13 pemain, empat adalah dari Labuan dan Sarawak, dua wakil Terengganu dan seorang masing-masing dari Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Zaryssa Awang Daniel dari Labuan yang menjadi kapten pasukan berkata: "Dapat mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa merupakan satu kebanggaan. Kami bukan sekadar satu pasukan, tetapi keluarga yang disatukan oleh kecintaan kepada ragbi. Kami bersedia menunjukkan kemahiran dan membanggakan negara".

Artikel Berkaitan:

Skuad ragbi wanita negara akan berlepas ke Kathmandu pada 18 Ogos ini.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Nepal (NRA) disertai oleh tujuh negara bagi perlawanan kategori lelaki iaitu Nepal, India, Thailand, Chinese Taipei, Hong Kong dan Uzbekistan, manakala bagi kategori wanita tiga negara akan bertanding termasuk Malaysia selain Nepal dan Thailand. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!