Perak FC teruskan rentak kemenangan

Pemain Perak FC, Luciano Guaycochea (kiri) melepaskan rembatan ke gawang gol lawan ketika bertemu pasukan Penang FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam Rabu. - Foto: Bernama
Pemain Perak FC, Luciano Guaycochea (kiri) melepaskan rembatan ke gawang gol lawan ketika bertemu pasukan Penang FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PERAK FC meneruskan rentak kemenangan di Stadium Perak di Ipoh apabila menewaskan Penang FC 3-1 dalam saingan Liga Super Malaysia pada Rabu.

Hujan renyai-renyai sebelum wisel permulaan permainan nyata memberi tuah buat skuad Seladang menceriakan hampir 4,000 penyokong yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Gol pertama Perak FC dijaringkan Luciano Guaycochea dari luar kotak penalti memasuki minit kelima perlawanan.

Tersentak dengan jaringan itu, Penang FC mengatur gerak ke kubu Perak mencari peluang menyamakan kedudukan.

Penang FC memperoleh beberapa peluang menerusi sepakan percuma namun bola gagal singgah ke gawang Perak FC.

Minit ke-23, Wan Zack Haikal menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya merembat masuk hantaran Seo Seonung untuk jaringan kedua Perak FC menjadikan kedudukan 2-0.

Pertahanan Perak FC, Sunday Afolabi pula menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir pada minit ke-37 selepas mengasari pemain lawan.

Peluang terbaik Penang FC muncul pada minit ke-43 menerusi sepakan percuma Adriano Narcizo namun bola terkena palang.

Artikel Berkaitan:

Berselang seminit selepas itu, Adriano sekali menunjukkan kemampuannya melalui sepakan percuma terus ke gawang Perak FC tetapi penjaga gol, T Shaheeswaran bertindak cemerlang menampan keluar bola dari kawasan permainan.

Tamat separuh masa pertama menyaksikan Perak FC kekal mendahului Penang FC dengan jaringan 2-0.

Bersambung babak kedua, Penang FC membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Zahril Azri Zabri diganti Asnan Ahmad.

Pada minit ke-53, tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi tandukan Afolabi namun tersasar ke kiri pintu gol Penang FC.

Tidak lama selepas itu, ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah melakukan dua pertukaran memasukkan Hakimi Mat Isa dan Azalinullah Alias menggantikan Firdaus Sayadi dan Wan Zack Haikal.

Selang beberapa minit selepas itu, satu lagi pertukaran dilakukan Perak FC memasukkan Farris Izdiham selepas pemain import mereka, Luka Milunovic mengalami kecederaan.

Gawang Perak FC akhirnya bolos pada minit ke-73 menerusi jaringan Alif Ikmalrizal yang bijak merembat bola muntah gagal diselamatkan Shaheeswaran sekali gus merapatkan jurang kedudukan 2-1.

Belum pun sempat bergembira dengan jaringan tunggal diperoleh, Penang FC dibolosi lagi dengan jaringan ketiga Perak FC menerusi penyerang sensasi mereka, Seonung.

Jaringan tersebut kemudiannya dibantah beberapa pemain Penang FC yang mengerumuni pembantu pengadil, namun ia tidak mengubah sebarang keputusan dibuat Mohd Hasrol.

Tamat perlawanan menyaksikan Perak FC mencipta satu lagi kemenangan selepas menundukkan Kedah Darul Aman FC pada 3 Ogos lalu dengan jaringan sama 3-1.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!