JDT lebur rekod kebal Sabah di Likas

Bergson meledak hatrik ketika membantu JDT menang besar 5-1 ke atas Sabah di Likas pada Rabu. FOTO: Johor Southern Tigers.
Bergson meledak hatrik ketika membantu JDT menang besar 5-1 ke atas Sabah di Likas pada Rabu. FOTO: Johor Southern Tigers.
A
A
A

PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meleburkan rekod tanpa kalah Sabah FC di Stadium Likas apabila menewaskan kelab Kepulauan Borneo tersebut, 5-1 pada Rabu.

Begitupun anak buah Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila Jafri Firdaus Chew terlebih dulu meletakkan The Rhinos di depan hasil jaringan minit ke-13.

Namun angkatan Harimau Selatan kendalian Estaban Solari kemudian tenang menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Juan Muniz empat minit berselang

Gol itu ternyata menyemarakkan jentera depan pasukan pelawat apabila Bergson da Silva melebarkan jaringan buat Harimau Selatan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25 sekali gus memimpin perlawanan 2-1.

Separuh masa kedua, anak buah Solari tampil lebih garang apabila Herberty Fernandez memastikan pasukan pelawat selesa mendahului pada minit ke-48 untuk gol ketiga.

Kelebihan gol itu ternyata tidak memadai buat JDT, apabila Bergson melengkapkan hatrik jaringan pada minit ke-63 dan minit ke-74 untuk kedudukan 5-1.

Keputusan itu menyaksikan JDT terus unggul memimpin carta Liga Super dengan 57 mata hasil 19 kemenangan selepas mengharungi 19 perlawanan.

Kekalahan keenam Liga Super selepas mengharungi 20 perlawanan menyaksikan Sabah menduduki tangga kelima liga dengan 36 mata, lapan mata di belakang pasukan tempat kedua Selangor FC.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!