Malaysian Tigers tampil bertenaga atasi Korea Selatan di India
SKUAD hoki lelaki negara meneruskan persembahan bertenaga dalam kejuaraan Trofi Liga Juara-Juara Asia apabila menewaskan Korea Selatan, 1-0 di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Rabu.
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira Malaysian Tigers apabila meledak gol padang pada minit ke-22 untuk jaringan tunggal perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigers mengumpul 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan - menang ke atas Pakistan (3-1), China (5-1), Jepun (3-1) dan Korea Selatan (1-0) manakala tewas 0-5 kepada India.
Skuad asuhan Arul Selvaraj yang sebelum itu telah mengesahkan slot separuh akhir selepas mengatasi Jepun, akan menunggu Korea Selatan atau Pakistan yang bersaing merebut kedudukan ketiga terbaik saingan liga sepusingan tersebut.
Sebagai rekod, kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia adalah kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Hoki Asia disertai oleh enam pasukan hoki terbaik Asia iaitu Korea Selatan, Pakistan, India, Malaysia, Jepun dan China.
Kejuaraan berprestij hoki benua Asia itu juga merupakan pentas persiapan aksi kompetitif terbaik untuk Malaysian Tigers sebelum menyingkap cabaran temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, September depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!