Kelantan FC kejutkan Negeri Sembilan di Kota Bharu
KELANTAN FC akhirnya berjaya keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super selepas mengejutkan Negeri Sembilan FC, 2-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.
Leonardo Rolon muncul wira The Red Warriors (TRW) apabila meledak dua gol di setiap babak bermula pada minit kedua hasil sentuhan pemain berusia 28 tahun dari Argentina.
Bekas pemain Club Atletico Mitre yang berpangkalan di Santiago del Estero itu sekali lagi menambah gol koleksi peribadi pada minit ke-30 untuk mata kelapan kelab dari pantai timur itu.
Kemenangan kedua selepas mengharungi 19 perlawanan membolehkan Kelantan naik satu anak tangga mengatasi kelab tertangga Kelantan United dengan kelebihan satu mata.
Sebagai rekod ini merupakan kemenangan kedua Kelantan selepas meraih kemenangan pertama selepas mengatasi Penang FC, 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV pada 5 Mac lalu.
Kelantan selepas ini akan melayan kunjungan Terengganu FC dalam Derbi Pantai Timur di Stadium Sultan Muhammad IV.
Sementara itu, Negeri Sembilan akan menanti Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!