Banjir kilat: Dua bayi antara lapan mangsa diselamatkan
MARAN - Dua bayi lelaki antara lapan mangsa yang diselamatkan akibat banjir kilat berhampiran Klinik Desa Sri Jaya dekat Jalan Gambang-Maran di sini awal pagi Khamis.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 4.58 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dan dua pegawai bersama empat jentera termasuk sebuah bot aluminium dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran dikejarkan ke tempat kejadian.
"Komander operasi melaporkan benar berlaku banjir kilat di kawasan kediaman yang dilaporkan.
"Mangsa terdiri tiga lelaki dewasa, seorang warga emas lelaki, seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan serta dua bayi lelaki," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, kesemua mangsa diselamatkan di dalam satu rumah dengan kedalaman air 0.5 meter.
Tambah Zulfadli, pasukan terlibat membuat penyelamatan mangsa dengan menggunakan bot dan dihantar ke tempat selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!