PRN Selangor: PH-BN cepat umum calon MB, pendirian PN cetus tanda tanya
SHAH ALAM - Kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin dirasai khususnya di beberapa DUN yang melibatkan pertembungan tokoh-tokoh politik utama di negeri ini.
Menyedari sejumlah 29 kerusi DUN diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, kesemua 127 calon yang bertanding kini giat melaksanakan pecutan terakhir meraih sebanyak mungkin sokongan sebelum tempoh kempen berakhir pada 11.59 malam, Jumaat ini.
Dengan tempo kempen yang semakin dipertingkatkan menerusi pelbagai program dan aktiviti sama ada secara bersemuka, melalui media maya atau siri-siri ceramah di merata tempat, cakap-cakap politik di lapangan kini tertumpu kepada siapa bakal Menteri Besar Selangor selepas hari pengundian Sabtu ini.
Sehingga kini, hanya Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk gabungan dengan Barisan Nasional (BN) mengekalkan nama Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calon tunggal untuk jawatan utama dalam kerajaan negeri itu.
Perikatan Nasional (PN), parti tunggal yang digambarkan mampu memberi cabaran kepada PH-BN dilihat masih ‘berteka-teki’ mengenai siapa calon Menteri Besar daripada gabungan PAS-Bersatu-Gerakan itu, meskipun pengumuman awal tersebut dianggap penting dan berstrategik dalam memberi jaminan kepada 3,747,057 pengundi berdaftar di negeri ini bahawa segala tawaran, manifesto, ikrar dan janji pilihan raya yang dibuat sepanjang kempen akan ditunaikan calon ‘poster boy’ tersebut.
Perlu diingat, PN menerusi Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Mac lalu telah mengumumkan bahawa calon Menteri Besar bagi Selangor dan Negeri Sembilan adalah daripada Bersatu jika gabungan itu meraih kemenangan dalam PRN, dan mengambil kira tempoh pengumuman itu sehingga pembubaran DUN pada 23 Jun lepas, PN atau Bersatu sepatutnya menjadi parti pertama menamakan calon Menteri Besar, kecuali ada penentangan terhadap cadangan tersebut.
PN mungkin mempunyai alasan dan strategi tertentu tidak menamakan calon Menteri Besar lebih awal, namun tindakan itu telah menyebabkan ramai pengundi tertanya-tanya siapa calon sebenar dan kenapa memilih bermain emosi ketika beberapa nama antaranya bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penyandang kerusi DUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi telah menjadi sebutan dan spekulasi dalam kalangan rakyat untuk mengisi ‘kerusi panas’ tersebut.
Penting sangatkah calon Menteri Besar diisytihar awal kepada umum?
Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Norliana Hashim berpandangan pengumuman calon Menteri Besar lebih awal boleh menaikkan motivasi dan pendedahan dalam aspek bermasyarakat kepada individu berkenaan selain dapat membantu pengundi membuat keputusan yang lebih bijak di kertas undi.
"Tindakan sesetengah parti tidak menamakan calon Menteri Besar lebih awal mungkin disebabkan mereka kurang berkeyakinan calon yang dinamakan itu boleh menang dalam pilihan raya tersebut dan ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk analisis politik, populariti, sokongan parti dan persepsi terhadap kemungkinan kemenangan mereka,” katanya.
Bagi pekerja swasta Anis Azman, 37, walaupun bukan sesuatu yang wajib tetapi sikap dan tindakan yang diambil PH-BN mengumumkan calon Menteri Besar lebih awal menyerlahkan keyakinan dan tahap perpaduan gabungan itu, sekali gus memberi lebih keyakinan kepada rakyat untuk memilih calon daripada parti tersebut.
"Dalam konteks Selangor, tindakan yang diambil Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Amirudin sebagai calon Menteri Besar telah menunjukkan kesepaduan, kesepakatan antara PH-BN, apatah lagi pengumuman itu turut disambut baik Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang akan mengundi di DUN Pandan Indah berkata, langkah itu juga memberikan pengundi lebih banyak masa menilai kredibiliti calon dan dalam aspek gerak kerja parti pula, ia mampu menyuntik lebih keyakinan kepada jentera untuk berkempen kepada pengundi di kawasan masing-masing.
Peniaga Siti Suhaila Othman, 55, pula berkata, pengisytiharan calon Menteri Besar sama ada awal atau menjelang hari pengundian adalah sangat penting kerana rakyat berhak untuk mengetahui bakal pengemudi sesebuah negeri sekiranya parti yang disokong menang.
"Saya suka cara PH-BN, nampak lebih telus berbanding lawannya yang masih bermain tarik tali. Daripada berteka-teki, saya rasa lebih baik setiap parti umumkan sahaja calon Menteri Besar masing-masing, kecualilah mereka mempunyai masalah dalaman atau sebaliknya,” katanya yang merupakan pengundi DUN Sekinchan.
Untuk PRN Selangor, PH-BN sepakat memutuskan Amirudin kekal sebagai Menteri Besar manakala sehingga semalam, Mohamed Azmin selaku Pengerusi PN Selangor hanya mengumumkan gabungan itu sudah mencapai konsensus calon Menteri Besar tetapi mengambil pendirian tidak mengumumkan nama pemimpin berkenaan ketika hari pengundian pada Sabtu ini berbaki dua hari lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!