PRN ujian kelangsungan Kerajaan Perpaduan - Ilham Centre
SHAH ALAM - Pilihan raya negeri (PRN) kali ini jelas menjadi ujian kelangsungan Kerajaan Perpaduan PH-BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre dalam rumusan kajian tentang tahap penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan dan Dasar Madani turut mendapati, PRN pada 12 Ogos ini akan menguji beberapa perkara termasuk, pola pengundian orang Melayu Semenanjung yang dijangka akan lebih jelas arahnya selepas perubahan pola yang mengejutkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kaji selidik lapangan membabitkan 2,416 responden di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri, bermula pada 11 sehingga 27 Julai 2023 turut memperlihatkan populariti Perdana Menteri, kerajaan dan dasar Malaysia Madani berada di tahap yang tinggi bagi negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, sebaliknya di negeri-negeri Perikatan Nasional (PN).
"Dengan demografi pengundi Melayu yang tinggi di Kedah, Kelantan, Terengganu, perkara tersebut menjadi berbeza.
"Walaupun begitu, populariti Perdana Menteri, kerajaan dan dasar Malaysia Madani di kalangan pengundi bukan Melayu berada di tahap yang tinggi dan konsisten di kesemua enam negeri yang terlibat.
"Menjangkakan undi Melayu akan terpecah, keterpecahan itu tidak serius disebabkan saingan dua penjuru berbanding tiga penjuru seperti mana PRU15, undi kelompok bukan Melayu mampu menjadi penentu (kingmaker) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta kerusi bercampur di selatan Kedah. Ini juga melatari persepsi politik," menurut kajian itu.
Pengundi Melayu yang berada di jajaran majoriti Melayu kini condong bersama naratif yang dibawa PN.
Ini bermaksud, gelombang PN yang meraih dukungan dan sokongan kawasan majoriti ini masih kukuh.
BN ataupun UMNO perlu berusaha lebih keras untuk meraih kembali sokongan Melayu yang terhakis atau pun yang hilang dalam PRU15 lalu.
Menerusi dapatan kaji selidik ini, jelas didapati wujud polarisasi ketara di kalangan responden kajian.
Polarisasi ini membabitkan pandangan terbelah dua di antara negeri yang ditadbir oleh PH dengan negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pas dan sekarang ini di bawah lembayung PN.
Polarisasi ini wujud kerana responden yang berada di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mempamerkan jawapan berbeza dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Negeri yang mempunyai demografi pengundi bercampur lebih terbuka dalam penilaian mereka berkaitan dengan prestasi Kerajaan Perpaduan tetapi di negeri yang berada dalam lingkaran majoriti Melayu memberikan "approval rating' yang rendah kepada soalan-soalan yang berkait dengan Perdana Menteri dan Kerajaan.
"Selain itu, PRN kali ini juga akan melihat dinamika parti-parti politik Melayu selepasnya dalam dua konteks penting, di kerusi majoriti Melayu dan kerusi bercampur.
"Andai kata pola ini diterjemahkan dalam kotak undi pada 12 Ogos nanti, kerusi-kerusi majoriti Melayu, terutama di zon utara dan pantai timur, lebih mudah dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) manakala PH-BN (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) akan menguasai pengundi majoriti bukan Melayu dan kawasan bercampur.
"Begitu pun, sebahagian pengundi lebih mementingkan faktor calon dan prestasi serta kecemerlangan kerajaan negeri dalam menentukan undi yang akan diberi," jelasnya.
Kajian ini merumuskan unjuran kepada polarisasi wilayah dan kaum akan menjadi lebih jelas selepas PRN nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!