PRN: Masa pengundi 18 ambil peluang tunai tanggungjawab
KOTA BHARU - Semua pengundi berusia 18 tahun di negeri ini perlu mengambil peluang menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih pimpinan kerajaan.
Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Kelantan (MGBK), Mohd Syahiran Muhammad berkata, golongan ini sudah diberi kepercayaan dan keistimewaan untuk mengundi.
"Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan 2019 yang mengurangkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun merupakan pengiktirafan bahawa belia sudah cukup matang untuk menyumbang kepada masa depan negeri ini," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, pilihan raya kali ini menjadi saluran untuk menyuarakan pendapat dan membuat keputusan bebas daripada tekanan mana-mana pihak.
Tambah beliau, sumbangan undi daripada pengundi 18 tahun di Kelantan diharap akan memberi momentum perubahan pada masa hadapan.
"Mereka antara peneraju perubahan melalui hak dan suara kita dalam pilihanraya kali ini dan akan datang," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!