Inisiatif Selangor atasi projek terbengkalai
Usaha pemulihan pembesaran kampung itu bakal manfaatkan 192 peserta
HULU SELANGOR - Kerajaan negeri mengambil inisiatif mengatasi projek pembesaran Kampung Serendah Perdana dan Kampung Jawa ( Desa Beringin) di sini yang terbengkalai sejak 30 tahun lalu dengan melantik pemaju penyelamat.
Projek pembesaran kampung itu merupakan inisiatif kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan projek perumahan secara tersusun di tanah seluas 120 ekar di Serendah Perdana dan 29.9 ekar di Desa Beringin pada tahun 1999 dan 1997.
Bagaimanapun projek itu tidak dapat disiapkan pemaju yang dilantik dan menyebabkannya terbengkalai sehingga kini.
Kesannya, semua pihak terlibat iaitu kerajaan negeri, pemaju dan peserta program telah terbeban dan terpaksa menanggung kerugian daripada pelbagai aspek akibat kegagalan itu.
Pada 1 Februari lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju melantik pemaju penyelamat untuk melaksanakan kerja kajian awal dan mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan sebelum ia dilaksanakan.
Di bawah cadangan itu, pemaju penyelamat diberikan tempoh selama enam bulan untuk menyelesaikan beberapa perkara antaranya mendapatkan persetujuan secara bertulis berhubung penyelesaian projek daripada pemilik tanah serta pembeli tanah berkenaan.
Manfaat kepada peserta
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha pemulihan pembesaran kampung terletak di mukim Serendah dan Kerling itu bakal memberikan manfaat kepada 192 peserta yang berdepan masalah itu hampir 30 tahun.
Menurutnya, langkah dilakukan itu merupakan perkembangan positif untuk penyelesaian tapak tersebut dengan beberapa tawaran dikemukakan kepada peserta.
Ujarnya, projek ini mampu memberi memberikan nilai tambah kepada penduduk selepas Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap menjelang 2026.
"Apabila siap rumah ini nanti sudah pasti harga semasa akan jauh lebih baik daripada keadaan tanah kosong atau bangunan separa siap yang ada sekarang.
"Serendah juga akan menjadi menjadi hub logistik selepas projek ECRL siap. Sudah tentu ia akan menjadi lokasi tumpuan dan ada keperluan untuk perumahan, komersial dan sumber manusia yang dapat meningkatkan nilai hartanah kawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi penutup taklimat dan penerangan kerja-kerja pemulihan projek terbengkalai pembesaran kampung Serendah Perdana dan Desa Beringin di Dewan Komuniti Serendah pada Rabu.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak empat lokasi dikenal pasti menghadapi projek terbengkalai membabitkan projek pembesaran kampung.
Ujarnya, selain dua lokasi di atas, dua lagi projek bermasalah adalah Kampung Koskan dan Kampung Melayu Rasa yang semua telah diambil tindakan penyelesaian.
" Projek di Kampung Koskan telah selesai sementara Kampung Melayu Rasa telah panggil pemaju untuk penyediaan Infrastruktur
" Projek pembesaran kampung ini bagus untuk penyusunan semula bagi generasi kedua dan ketiga tetapi projek ini tidak berjaya disempurnakn.
"Jadi kerajaan negeri mengambil peranan mencari penyelesaian bagi merealisasikan hasrat pembeli memiliki rumah berkenaan," katanya.
ADVERTORIAL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!