Rakyat perlu keluar mengundi, usah hukum diri sendiri
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang layak dinasihatkan agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi pada Sabtu ini bagi memilih pemimpin di kawasan masing-masing.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tindakan tidak keluar mengundi seolah-olah seperti menghukum diri sendiri.
Katanya, ini kerana rakyat Malaysia berhak menentukan pemimpin yang mereka mahu dan percaya untuk mentadbir serta mengatur negeri.
"Biar kita yang tentukan jangan biar orang lain yang merampas hak kita dan sesuka hati menentukan corak negeri kita.
"Lalai, kecewa bukan alasan untuk kita bangkit mempertahankan prinsip diri di peti undi,"ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis
Tambah Hussamuddin, rakyat mempunyai kuasa untuk pertahankan prinsip di peti undi pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
"Titik bermulanya perubahan yang kita harapkan adalah dari nilai satu undi. Satu undi bererti satu suara telah bangkit daripada jutaan rakyat yang memilih dengan penuh harapan.
"Tidak ada suara yang berhak terpinggir. Kunci kepada ribuan polisi, pembangunan dan pemulihan negara ini ada pada satu jari akan turun mengundi, kita tidak boleh sia-siakan," jelasnya.
Beliau turut berpendapat, PRN kali ini adalah peluang untuk rakyat melihat perubahan pada sistem pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan sebagainya.
"Kitalah penentu arah tuju negara,'' katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!