Kerajaan tidak pinggir Kelantan, beri peruntukan paling tinggi - Anwar

Anwar ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di sini pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di sini pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman berkenaan kerajaan Persekutuan meminggirkan Kelantan.

Sebaliknya, Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa peruntukan yang diberikan Kerajaan Perpaduan terhadap negeri itu adalah lebih tinggi berbanding kerajaan semasa pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Itu pandangan yang tidak mengikut fakta. Saya sudah bagitahu peruntukan Kelantan paling tinggi (iaitu) untuk tebatan banjir, bantu bagi air bersih, pembangunan negeri.

“Peruntukan yang diberikan Kerajaan Perpaduan sekarang, lebih banyak berbanding Pas dan Bersatu berikan dalam kerajaan sebelum ini.

“Di mana dia kata anak tiri?" katanya ketika ditemui media selepas berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Mohd Syahir dalam sesi jawapan semasa debat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, punca utama Kelantan masih menjadi negeri miskin ialah disebabkan isu 'federalisme'.

Menurut Mohd Syahir, isu tersebut telah menyebabkan beberapa hak negeri Kelantan dinafikan termasuk royalti disebabkan perbezaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Anwar turut menasihati Mohd Syahir sebagai pemimpin muda untuk lebih berani menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi partinya selain memberikan cadangan penambaikan.

Artikel Berkaitan:

“Semua cadangan yang penting untuk Kelantan saya telah terima. Beliau sebagai pemimpin muda sepatutnya lebih berani menyelesaikan masalah dalaman parti,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!