Impian mahu jadikan Pahlawan Championship identiti Malaysia
Anak jati kelahiran Kedah ini, menjelaskan kewujudan Pahlawan Muay Thai ini hasil inspirasi bersama rakan-rakan rapat yang memiliki minat dalam sukan berkenaan.
Jelas John Faizol, biarpun Pahlawan sebelum ini sudah terlibat secara langsung atau tidak dengan penganjuran menganjurkan berpuluh-puluh kejohanan muay thai di seluruh negara sejak 10 tahun lepas, namun beliau merasakan Pahlawan perlukan satu acara yang boleh menjadi identiti dan mengangkat jenama itu di kancah sukan tempur berkenaan.
“Saya sentiasa berkongsi idea dan mencari pendekatan baharu dengan rakan-rakan untuk mengukuhkan semula nama Pahlawan.
“Kami tak mahu sekadar jadi penganjur kejohanan sukan muay thai saja, tapi kami mahu Pahlawan menjadi satu nama yang mampu membina legasi besar dalam sukan ini,” katanya.
Oleh itu, tercetusnya idea untuk mewujudkan acara Pahlawan Championship yang kali pertama dianjurkan di Kulim, Kedah pada Jun lalu.
Ujar John Faizol, perancangan awal Pahlawan Championship akan menjelajah ke empat zon seluruh tanah air dalam tempoh setahun dengan tarikan utama adalah pertarungan bulanan yang membuka peluang luas kepada penempur-penempur sukan muay thai tempatan dan antarabangsa.
“Pahlawan Championship bukan saja memberi ruang kepada penempur sukan muay thai sedia ada tapi lebih penting bakat-bakat baharu sukan ini ada gelanggang untuk mempamerkan kebolehan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!