Rakyat mahu PMX pulihkan ekonomi, atasi kos sara hidup dengan segera
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majoriti rakyat Malaysia berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan dapat melakukan sesuatu bagi memulihkan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup secepat mungkin.
Melalui dapatan kaji selidik dijalankan firma penyelidikan politik, Ilham Center bertajuk 'Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan Dan Dasar Malaysia Madani: Tumpuan Di Enam Negeri Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15', rakyat mahu kerajaan memberikan keutamaan dan tumpuan memulihkan ekonomi negara serta mengurangkan kos sara hidup mengatasi perkara lain.
Pengarah Eksekutif IIham Center, Hisommudin Bakar berkata, pada perspektif ekonomi, majoriti responden mengharapkan Perdana Menteri dan pasukannya melakukan sesuatu untuk memulihkan ekonomi negara.
Berikutan itu, Hisommudin berkata, ini merupakan peluang positif untuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri kerana dasar dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sememangnya sedang berusaha untuk memulihkan ekonomi ke arah yang lebih baik.
"Pengumuman Naratif Ekonomi Madani, Pelan Peralihan Tenaga Baru Nasional dan Inisiatif Payung Rahmah yang membawa pelbagai pelan untuk membantu mengurangkan kos kehidupan seharian juga adalah positif.
"Responden memberikan merit terhadap kerajaan atas segala usaha ini dan memberi ruang kepada kerajaan untuk mengukuhkan keyakinan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hisommudin berkata, kajian berkenaan juga menunjukkan 45 peratus responden memahami dasar Malaysia Madani diperkenalkan Anwar.
Beliau berkata, kajian berkenaan juga biarpun tidak sampai setahun, namun peratusan penerimaan rakyat terhadap dasar Malaysia Madani adalah baik untuk kerajaan namun penerangan perlu dilakukan dengan lebih giat lagi terutama ke kawasan luar bandar.
Beliau berkata, dapatan kajian itu juga menunjukkan dasar Malaysia Madani adalah dasar yang baik untuk memandu hala tuju negara bergerak ke hadapan.
"Naratif perpaduan dan memanusiawikan dasar dan pelaksanaan kerajaan dilihat sesuai dengan citra Malaysia yang berbilang kaum. Namun begitu majoriti responden kajian melihat Malaysia Madani seakan sama dengan slogan dan retorik sebelumnya yang bersifat kosmetik.
"Keperluan mendesak masih menuntut kepada hal-hal terkait dengan penambahbaikan sosioekonomi yang menyentuh kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan dan gaji bermaruah yang pada pendapat mereka lebih 'Madani' dalam erti kata yang sebenar," katanya.
Hisommudin berkata, menerusi dapatan kualitatif, sebilangan besar responden menyifatkan dasar Kerajaan agak mencapah kerana naratif Kerajaan Perpaduan, Malaysia Madani dan Inisiatif Payung Rahmah membawa mesej yang tidak sekata.
Bagaimanapun, katanya semua inisiatif dalam konteks Malaysia Madani tetap dipandang baik dan diberi pujian oleh responden kerana ia dapat meringankan beban hidup rakyat.
Kajian ini mengutip pensampelan berdasarkan populasi mengikut negeri yang dikaji.
Sejumlah 2,416 responden di enam negeri terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah memberikan kerjasama dan terlibat dalam kaji selidik yang bermula pada 11 sehingga 27 Julai lalu.
Manakala terdapat 102 responden terlibat dalam temu bual mendalam (in depth - interview) dan kumpulan fokus (focus group discussion) yang meliputi kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita.
Bagi kaji selidik secara tatap muka di lapangan, data dikumpul oleh enumerator menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur.
Ralat kesilapan ialah 5 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.
Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi seluruh enam negeri berkenaan dengan
kaedah pensampelan rawak berstrata meliputi semua peringkat umur, etnik, kumpulan isi rumah, tahap pendidikan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.
Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!