1,505 polis Perak bantu PRN Kelantan

Mohd Yusri melepaskan warga Polis Perak yang akan ditugaskan pada PRN Kelantan.
Mohd Yusri melepaskan warga Polis Perak yang akan ditugaskan pada PRN Kelantan.
A
A
A

IPOH - Seramai 1,505 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak akan ditugaskan bagi membantu melancarkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, warga polis dari 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta anggota dari Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh telah digerakkan ke negeri itu.

Menurut beliau, 84 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri turut ditugaskan bagi penugasan pada PRN Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

"Kesemua pegawai dan anggota yang terlibat dalam penugasan ini diharap dapat memberikan sepenuh komitmen dan melaksanakan tugas dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.

"Sebagai agensi penguatkuasa utama di dalam negara, kita akan terus berdiri dan kekal komited bagi mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam dalam apa juga situasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Bantuan Sumber Manusia PDRM Perak yang akan bertugas di PRN Kelantan 2023 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Mohd Yusri berkata, pasukan diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang situasi hingga mewujudkan implikasi yang boleh mencalarkan imej pasukan.

"Kawal sehabis baik emosi, sentiasa tenang dan berhemah terutama apabila berhadapan dengan situasi yang berbentuk provokasi.

Artikel Berkaitan:

"Pasakkan dan tanamkan tekad yang kuat untuk melaksanakan amanah tugas ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar," katanya

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!