PN tak terlibat pasang kain rentang berunsur adu domba - Roslan Shahir
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang kain rentang berunsur fitnah yang dikesan awal pagi Khamis.
Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kain rentang yang tertera 'undi PN bersamaan undi Pas masuk syurga' bukan dikeluarkan oleh gabungan tersebut.
Menurutnya, kain rentang berkenaan dipasang di seluruh Selangor dan perbuatan itu dianggap sebagai tidak demokratik.
"Dalam pentas demokrasi patut lawan secara demokratik tapi sebaliknya mengeluarkan bahan berunsur jahat seperti ini.
"Kegiatan ini jelas menggambarkan pihak berkenaan dalam keadaan terdesak, mereka tak dapat melawan kita secara baik, jadi digunakan taktik jahat seperti ini," katanya menerusi sidang akhbar PN pada Khamis.
Dalam pada itu, pihaknya turut menegaskan PN tidak terlibat dengan pemasangan kain rentang 'orang muda akan rosak dan sesat jika undi Kerajaan Perpaduan'.
"Seperti kita pula yang keluarkan poster ini. Kami tidak berbuat demikian dan tiada dalam agenda untuk berbuat begitu. Kita tak perlu buat kerja macam tu.
"Saya tak kata ini daripada Pakatan Harapan (PH) tetapi yang jelas dari pihak musuh yang cuba untuk adu domba dan memecahbelahkan masyarakat," katanya.
Roslan Shahir berharap, hari-hari terakhir kempen berjalan lancar dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
"Jangan hanya jaga ceramah dan kempen PN tetapi ambil tindakan juga terhadap perkara-perkara seperti ini.
"Kami akan buat laporan dan harap pihak polis ambil tindakan terhadap kerja-kerja yang jahat dan tidak demokratik ini," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!