PRN: Calon BN DUN Kemasik buat laporan polis dakwa difitnah

Mohd Khairi Afiq (tengah) memegang kertas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Khamis.
Mohd Khairi Afiq (tengah) memegang kertas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook berhubung dakwaan berunsur fitnah menuduh beliau terlibat dalam komplot menjatuhkan maruah calon Pas.

Mohd Khairi Afiq berkata, dua pemilik akaun Facebook bernama Karl Paulo dan Razak Bidin itu sengaja menuduh beliau bersama Datuk Seri Ahmad Said dan seorang wanita bernama Ezza Suria Muda merancang komplot untuk menjatuhkan Pas melalui calon dari parti tersebut.

"Mereka menuduh Datuk Seri Ahmad Said dan Ezza Suria memainkan persepsi jijik dengan mengeluarkan video, gambar dan akuan bersumpah yang saya tandatangani dalam media sosial.

"Mereka juga menuduh saya, Datuk Seri Ahmad Said dan Ezza Suria serta Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Kemasik menyusun pelan jahat bagi memastikan orang ramai tidak keluar mengundi.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya bersama Datuk Seri Ahmad Said atau mana-mana AJK UMNO Kemasik tidak terlibat sama sekali dalam isu rumah tangga membabitkan calon Pas Kemasik bersama wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini pada Khamis.

Sebelum ini, seorang kontraktor wanita tampil membuat pengakuan mendakwa digantung tidak bertali oleh suaminya yang merupakan calon sebuah parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Wanita berusia 38 tahun itu mendedahkan sehingga kini tidak mengetahui status hubungannya dengan pemimpin politik berkenaan selepas lelaki itu bertindak mendiamkan diri serta cuba mengelak setiap kali diajak berbincang.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi Afiq berkata, beliau mengakui ada menandatangani surat akuan bersumpah yang dibawa oleh pelanggannya iaitu Ezza Suria pada 27 Ogos lalu selepas segala dokumen yang diperlukan untuk disahkan adalah lengkap.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah, beliau tidak pernah terlibat dengan kandungan dokumen yang ditandatangani sebaliknya ia adalah tanggungjawab deponen sepenuhnya.

"Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu secara jelas bertujuan menjatuhkan maruah dan reputasi saya sebagai calon BN N29 Kemasik dan sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah.

"Mereka cuba menutup aib sendiri dengan membuat tuduhan terhadap saya, Datuk Seri Ahmad Said serta AJK UMNO Kemasik dan BN.

"Saya juga mencabar calon Pas N29 DUN Kemasik untuk membuat laporan polis bagi menafikan apa yang tersebar dalam media sosial pada masa kini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!