Waris laksana ibadah haji untuk anak-anak
Mohd Husni menerima cek faedah pengurusan mayat disampaikan Kula Segaran (kiri) sambil diperhatikan Ahmad Faizal (dua, kiri).
A
A
A
Mohamad Kamari Talib, 53, berkata, hasrat itu tercetus berikutan sumbangan tidak putus-putus diterima daripada orang ramai, wakil rakyat, jabatan dan kerajaan yang berkongsi rasa kesedihan akan tragedi itu.
"Ini duit orang dermakan atas arwah, selayaknya wang ini digunakan untuk dia, Alhamdulillah, setelah selesai semua nanti, kami rancang nak buatkan haji untuknya guna duit ini," katanya.
Mohamad Kamari berkata, meskipun sudah lima hari berlalu, mereka sekeluarga masih belum dapat menerima sepenuhnya kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu.
"Setiap pagi kami ziarah kuburnya dan isteri saya, setiap malam tidur bertemankan baju arwah, kami masih belajar untuk terima kenyataan apa yang berlaku," katanya.
Anaknya, Mohamad Ekmal Izzuddin, 16, bersama empat lagi rakan, Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Ahmad Faizal Aminuddin, 16 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, ditemui rentung dalam kebakaran yang berpunca daripada bahan letupan.
Turut terkorban, pemilik premis, P Thiagarajan, 40, ketika kejadian mereka yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah dipercayai sedang membuat persiapan krismas di tingkat atas bangunan.
Dalam pada itu, Mohd Husni Kasman, 47, menyatakan rasa terima kasih atas bantuan dan doa yang diberikan orang ramai hingga proses pengkebumian serta kenduri tahlil berjalan lancar.
Katanya, sokongan itu menjadikan mereka lebih tabah dan kuat menerima hakikat kehilangan orang tersayang.
"Kami dah boleh terima cuma ada masanya saya tersasul panggil nama dia ketika panggil anak yang lain, kadang-kadang tengah malam saya jerit nama dia suruh balik, sebab ingat dia selalu lepak di rumah jiran sebelah.
"Jika ada rezeki, duit yang orang beri ini akan kami simpan dan buatkan haji untuk arwah," katanya.
Mereka ditemui pada majlis penyerahan cek faedah pengurusan mayat oleh Perkeso di RPT Kampung Sri Aman, hari ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi.
Setiap waris menerima RM2,000 daripada Perkeso sementara kerajaan negeri menyampaikan sumbangan keseluruhan RM12,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!