Pampasan, gaji tidak dibayar

Mohd Hidayat (kiri) bersama dua lagi pekerja menunjukkan dokumen aduan yang dibuat terhadap kegagalan bekas majikan mereka membayar pampasan.
Mohd Hidayat (kiri) bersama dua lagi pekerja menunjukkan dokumen aduan yang dibuat terhadap kegagalan bekas majikan mereka membayar pampasan.
A
A
A

BERUAS - Sudah jatuh ditimpa tangga, itu yang boleh digambarkan nasib menimpa bekas pekerja salah sebuah kilang memproses sarung tangan di sini, apabila kehilangan kerja serta tidak menerima pampasan selepas kilang berkenaan tutup.

Lebih malang lagi Mohd Hidayat Samsuri, 35, tidak menerima gaji hampir RM9,000 daripada pengurusan baharu yang mengambil alih kilang berkenaan Januari tahun ini selepas turut ditutup pertengahan April lalu.

Kejadian berkenaan bukan sahaja menimpa dirinya malah 42 pekerja lain selepas pihak pengurusan kilang yang lama terpaksa menutup operasi mereka November tahun lalu.

Mohd Hidayat yang sebelum ini bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di kilang terbabit mendakwa pihak pengurusan lama masih belum melunaskan bayaran wang pampasan dan gaji ganti notis seperti yang sepatutnya.

"Pengurusan kilang ketika itu menutup operasi tanpa notis sehingga menyebabkan lebih kurang 100 pekerja termasuk saya kehilangan pekerjaan sebelum ia diambil alih pengurusan baru pada Januari tahun ini.

"Bagaimanapun pengurusan kilang yang lama membayar wang pampasan dan gaji ganti notis kepada sebahagian daripada pekerja berkenaan kecuali 42 orang yang lain termasuk saya," katanya ketika ditemui di Jalan Beruas, Ayer Tawar baru-baru ini.

Mohd Hidayat berkata, selepas kilang berkenaan diambil alih pengurusan baharu dia bersama beberapa lagi pekerja menjalani temuduga dan diterima bekerja dikilang sama.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian pekerja yang berhimpun di hadapan sebuah kilang memproses sarung tangan di Ayer Tawar.
Sebahagian pekerja yang berhimpun di hadapan sebuah kilang memproses sarung tangan di Ayer Tawar.

"Pada mulanya kami gembira kerana masih ada pekerjaan tapi ia tidak lama apabila pengurusan baru juga terpaksa menutup operasi pada pertengahan April lalu dan gagal membayar gaji kami sekurang-kurangnya tiga bulan.

"Keadaan ini cukup memberi tekanan kepada saya kerana wang simpanan sudah habis digunakan dan kereta saya hampir ditarik bank kerana sudah beberapa bulan gagal dibayar," katanya.

Menurutnya, seramai 30 pekerja warga tempatan dan asing tidak menerima gaji sejak Februari daripada pengurusan baharu kilang tersebut dan masih tidak tahu apa nasib mereka.

"Saya bersama beberapa bekas pekerja membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Sitiawan dan maklum balas diterima memaklumkan pengurusan lama kilang meminta tempoh sehingga 15 Mei ini untuk menjelaskan pampasan kami.

"Saya kurang percaya kerana mereka sering memberikan alasan malah bila kami hubungi bekas majikan berbincang dan meminta wang pendahuluan untuk perbelanjaan tiada sebarang maklum balas diterima," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama pemilik kilang serta bekas pekerja yang terlibat dalam masa terdekat.

"Perbincangan ini akan melibatkan majikan, bekas pekerja dan saya sendiri untuk mencari jalan penyelesaian bersama supaya wang pampasan dapat diberikan kepada pekerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!