41 migran terbunuh kapal karam di Mediterranean

Lebih 41 migran dikhuatiri maut dalam insiden terbaharu kapal karam di laluan merentasi Laut Mediterranean. - Foto AP
Lebih 41 migran dikhuatiri maut dalam insiden terbaharu kapal karam di laluan merentasi Laut Mediterranean. - Foto AP
A
A
A

ROM - Lebih 41 migran dikhuatiri maut dalam insiden terbaharu kapal karam di laluan merentasi Laut Mediterranean.

Kejadian itu dilaporkan oleh empat mangsa yang terselamat dalam insiden itu.

Menurut laporan media, empat yang selamat itu telah diselamatkan oleh sebuah kapal kargo Malta, Rimona.

Mangsa kemudian dibawa ke Lampedusa untuk menerima rawatan pada Rabu.

Menurut mangsa, bot yang membawa 45 pemohon suaka itu meninggalkan Tunisia pada Khamis lalu untuk menuju ke Lampedusa, sebuah pulau yang terletak di Laut Mediterranean.

"Jumlah korban pada hari ini menambah lagi bilangan kematian akibat kejadian kapal karam yang semakin meningkat di Mediterranean.

"Menurut Missing Migrants Project, lebih 1,800 orang telah dilaporkan maut dan hilang di sepanjang laluan itu tahun ini," menurut kenyataan bersama Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pada hari Ahad, kira-kira 57 orang diselamatkan selepas dua kapal karam antara Tunisia dan Lampedusa dalam masa beberapa jam, manakala 32 orang telah disahkan maut atau hilang.

Artikel Berkaitan:

Pada hari yang sama, seramai 34 pelarian diselamatkan selepas terkandas selama 36 jam di tebing curam di Lampedusa, selepas kapal yang mereka naiki melanggar bongkah batu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Itali, hampir 92,000 pelarian dari Afrika, Timur Tengah dan selainnya telah mendarat di pantai Itali setakat tahun ini, lebih sekali ganda berbanding tempoh yang sama pada 2022.

IOM telah melaporkan hampir 134,000 ketibaan pendatang di Eropah pada tahun 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!