PH-BN perlu kerja keras tarik hati pengundi Melayu - Tengku Zafrul
ISKANDAR PUTERI - Gabungan Kerajaan Perpaduan membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerja lebih keras untuk menarik pengundi Melayu bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Sabtu ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, meskipun menerima reaksi positif dalam kalangan pengundi Melayu, namun ia tidak boleh dijadikan kayu ukur akan berlaku peningkatan sokongan.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut meminta calon-calon PH-BN untuk terus gigih bertemu pengundi di saat akhir bagi memberi penerangan tentang mengapa BN kini bergabung dengan PH membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Saya sudah turun berkempen di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), apa yang dapat dilihat adalah kerjasama antara jentera PH dan BN memang wujud.
"Apabila berjumpa dengan pengundi Melayu contohnya, saya rasa kita perlu terus berikan pencerahan tentang mengapa BN menyertai gabungan ini, ia bukan sahaja disebabkan titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga demi kestabilan politik dan ekonomi.
Hasilnya kita dapat lihat pada suku pertama tahun ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia agak kukuh dengan peningkatan 5.6 peratus, manakala pelaburan pula meningkat 60 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan GDS NTP Data Center Campus, di sini pada Khamis.
Turut hadir, Exco Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sekiranya penerangan jelas diberikan, ia akan dapat menarik sokongan masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Sekiranya perkara itu dapat dilakukan kerajaan sekarang, ia akan dapat mencapai kestabilan politik dalam negara dalam tempoh lima tahun akan datang," ujarnya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!