Shuib nekad teruskan saman fitnah

Shuib
Shuib
A
A
A

SHAH ALAM - Pelawak dan penyampai radio, Shuib tetap dengan pendirian untuk meneruskan saman fitnah yang mengaitkan diri serta arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebagai ahli Freemason.

Shahmira Muhammad, 39 atau lebih dikenali sebagai Shuib berkata, ia bertujuan untuk memberi kesedaran dan amaran yang jelas kepada pengguna media sosial lain agar tidak membudayakan penyebaran berita palsu bagi menjamin keharmonian dalam masyarakat.

“Saya mengambil tindakan ini sebagai seorang warganegara yang prihatin terhadap budaya Malaysia yang saling menghormati antara satu sama lain.

“Ia adalah satu panggilan kepada mereka yang suka sebarkan fitnah tanpa bukti yang kukuh untuk berhenti melakukan perkara tersebut,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Berdasarkan laporan media, seorang pelayar laman sosial yang dikenali sebagai John Dihani telah mendakwa kematian isteri Shuib mempunyai kaitan dengan agenda vaksin Covid-19.

Dalam perkongsian tersebut, individu terbabit membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia.

Kenyataan individu itu dibuat berpandukan sekeping foto Shuib bersama isterinya, Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah yang menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi ‘rahsia’ tersebut.

Dalam pada itu, Shuib bertegas untuk menjadikan ini sebagai titik permulaan yang positif untuk melawan fitnah.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya bahawa tanggungjawab untuk menentang fitnah bukan sahaja terletak kepada individu yang teraniaya tetapi kepada kita semua sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!