11 tukun tiruan bernilai RM360,000 dilabuh di perairan Kuala Selangor
KUALA SELANGOR - Jabatan Perikanan melabuhkan sebanyak 11 tukun dasar lembut penghalang pukat tunda bernilai RM360,000 kira-kira 3.2 batu nautika perairan Kuala Selangor di sini pada Khamis.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, tukun tiruan dikenal pasti antara kaedah berkesan memperkayakan sumber perikanan marin di seluruh dunia.
Menurut beliau, kementeriannya menjangkakan tukun yang dilabuhkan akan memberi manfaat ekonomi kepada 7,668 nelayan di Selangor terutama di Kuala Selangor.
"Tahun lalu, pendaratan ikan di perairan daerah ini mencatatkan 21,661 tan metrik yang meliputi keseluruhan 171,055 tan di Selangor," katanya ketika berucap pada Majlis Pelabuhan Tukun Dasar Laut di sini pada Khamis.
Foong Hin berkata, Jabatan Perikanan akan terus membina dan melabuh tukun tiruan secara berterusan bagi meningkatkan sumber perikanan negara.
Berdasarkan statistik, Selangor mempunyai sebanyak 35 tukun di Sabak Bernam, 68 di Kuala Selangor, 95 di Kuala Langat dan 14 di Sepang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!