PRN: Kempen 'grand finale' PM berakhir di Kedah
ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengakhiri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Jumaat, sehari sebelum hari mengundi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan menjelajah ke beberapa daerah di negeri ini sebagai lokasi kempen 'grand finale'.
Ia dilihat sebagai usaha terakhir pimpinan tertinggi PH dan Barisan Nasional (BN) untuk berkempen di negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN), khususnya Kedah yang menjadi sasaran untuk dimenangi.
Perdana Menteri akan memulakan program di Langkawi dengan merasmikan Geopark Discovery Centre (GDC) pada jam 10.30 pagi, disusuli dengan kenduri rakyat bertempat di GDC, Kilim Geoforest Park.
Seterusnya Anwar akan ke Pulau Pinang untuk makan tengah hari dan beramah mesra dengan penduduk setempat di Gulai Kalut Hot Stall, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis.
Jelajah Perpaduan Madani diteruskan ke Kedah di Parlimen Padang Terap untuk memberi peluang masyarakat sekitar mendengar amanat Perdana Menteri yang dijadualkan diadakan di Tapak Nat, Pekan Naka, Kuala Nerang pada jam 5 petang.
Anwar kemudian akan berjumpa masyarakat setempat di Taman Hidayah, Hutan Kampung untuk ceramah kedua bermula pada jam 8.30 malam.
Sebelum mengakhiri kempen jelajah, beliau akan singgah di Tapak Pasaraya Aneka Gurun sekitar 9.45 malam sebelum meneruskan ceramah ‘grand finale’ di Sungai Petani.
Presiden PKR itu dijangka menyampaikan amanat khas dalam ceramah kempen terakhir PRN pada jam 10.30 malam di Padang EUPE, Taman Ria, Sungai Petani.
Pecutan di saat akhir kempen ini pastinya dinanti-nantikan penyokong PH-BN kerana ia menjadi nilai sentimental apabila Perdana Menteri menutup tirai kempen PRN di negeri ini.
Tempoh 14 hari berkempen PRN yang bermula pada hari penamaan calon, 29 Julai lalu dan akan tamat pada jam 11.59 malam Jumaat.
Ini bermakna selepas tempoh itu, segala aktiviti merayu undi tidak dibenarkan terutamanya ketika hari pengundian pada Sabtu, di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksikan PN menguasai 21 kerusi DUN dengan 15 kerusi milik Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak enam kerusi.
PH pula beroleh 11 kerusi menerusi PKR (5), Parti Amanah Negara (4), serta DAP (2). BN pula memiliki dua kerusi yang kini bergabung bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memiliki dua kerusi, namun tidak menyertai PRN kali ini.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!