Wanita dera kanak-kanak di taska direman
KOTA KINABALU - Wanita tular di media sosial yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak berusia empat tahun di sebuah tadika direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Stephani Sherron Abbie terhadap wanita berusia 27 tahun itu bermula 11 hingga 17 Ogos ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan.
"Tangkapan suspek telah dibuat namun motif kejadian belum diketahui," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.
Katanya, setakat ini tiga laporan polis diterima dari ibu mangsa, suspek dan juga pengetua tadika berkenaan.
"Siasatan (dijalankan) di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum itu, Kalsom menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan lagi video berkaitan kes itu di media sosial.
"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak kongsikan video itu kerana ia boleh menganggu siasatan selain turut menimbulkan kegusaran kepada orang awam," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang wanita di sebuah tadika dipercayai bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan buku.
Video itu turut ditonton oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan kedua-duanya berang dengan perbuatan wanita itu.
Malah perbuatan memukul kanak-kanak itu yang dilakukan secara berulang kali menyebabkan ibu kanak-kanak terbabit tidak dapat menahan kesedihan sehingga meraung sebaik melihat video itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!