Rezeki memihak Kelantan FC
KEJAYAAN pemain Kelantan FC mengekalkan disiplin terutamanya membabitkan pelaksanaan taktikal menjadi faktor utama The Red Warriors (TRW) berjaya menjinakkan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super pada Rabu.
Malah pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera mengakui gembira semangat juang tinggi dalam kalangan para pemain TRW walaupun kelab pantai timur itu sering menjadi pasukan belasahan.
“Sebenarnya perlawanan ini bukan mudah, rezeki memihak kepada kami. Malah kemenangan ini juga penting kerana hampir 15 perlawanan Kelantan tidak mendapat tiga mata.
“Ya, saya sangat gembira apabila semua pemain muda kami bekerja keras dan mulai percaya serta berani.
“Sekiranya kami mempunyai cukup pemain import, saya percaya Kelantan boleh bermain dengan lebih baik lagi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Terdahulu dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 hasil dua gol jaringan tonggak import dari Argentina, Leonardo Rolon pada minit kedua dan minit ke-30.
Dalam pada itu, pengendali Negeri Sembilan K Devan mengakui dua gol separuh masa pertama menyumbang kepada kekalahan keenam liga skuad Rusa musim ini.
“Kita layak untuk kalah dalam perlawanan pada malam ini disebabkan persembahan para pemain Negeri Sembilan. Kami tidak bermain seperti biasa malah tidak cukup agresif seperti Kelantan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!