Amerika kemaruk singkir Imran Khan

Polis mengawal ketat Imran Khan semasa beliau tiba di Mahkamah Tinggi Islamabad pada 12 Mei lalu. - Foto AFP
Polis mengawal ketat Imran Khan semasa beliau tiba di Mahkamah Tinggi Islamabad pada 12 Mei lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Sebuah laman web berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mendakwa telah memperoleh dokumen sulit, mencadangkan Washington mendesak agar bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dipecat kerana berkecuali dalam perang Ukraine.

Menurut dokumen yang diterbitkan The Intercept, pegawai Jabatan Negara AS (DOS) menggunakan ancaman dan janji manis untuk menggalakkan penyingkiran Imran.

Dokumen sulit itu yang digelar sebagai 'cypher' mendedahkan DOS menjanjikan hubungan lebih mesra jika Imran dipecat, namun Islamabad akan dipulaukan jika rancangan menyingkirkan ikon kriket itu gagal.

Ia menegaskan bahawa dokumen sulit yang dilabelkan rahsia itu diberikan kepadanya oleh sumber tanpa nama dalam tentera Pakistan yang mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai hubungan dengan Imran atau parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

The Intercept adalah sebuah penerbitan dalam talian yang kerap menyiarkan laporan penting serta eksklusif tentang keselamatan negara.

Merujuk satu mesyuarat bertarikh 7 Mac 2022, laporan itu menyatakan satu pertemuan diadakan antara pegawai DOS termasuk Penolong Setiausaha Negara bagi Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Tengah, Donald LU dengan Asad Majeed Khan yang pada itu adalah Duta Pakistan untuk AS.

Menurut The Intercept, pada pertemuan itu pegawai DOS menyatakan kebimbangan mengenai pendirian Imran yang tidak menyokong perang proksi AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam konflik Rusia-Ukraine.

Malah, lawatan Imran ke Moscow turut menimbulkan rasa kurang senang dan bertentangan dengan nasihat AS kerana ia dibuat semasa Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Tambah laporan itu lagi, sebulan selepas mesyuarat tersebut diadakan, undi tidak percaya dibuat di Parlimen Pakistan yang membawa kepada penyingkiran Imran.

Beberapa hari sebelum penyingkirannya pada 9 April 2022, Imran menuduh kuasa asing yang tidak dinamakan (tetapi secara jelas merujuk AS) mengetuai konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan tertinggi negara itu.

Imran bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Beliau juga berulang kali mendakwa parti pembangkang Pakistan sedang bekerjasama dengan kuasa asing.

Pemimpin itu mendakwa beliau menjadi sasaran selepas keengganannya untuk menyokong Washington dalam isu menentang Rusia dan China.

Bagaimanapun, AS menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Asad Majeed yang pernah menulis kabel diplomatik mengenai pandangan Washington berhubung lawatan Imran ke Moscow turut menafikan dakwaan Imran pada forum Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC).

Selepas disingkirkan, Imran berdepan kira-kira 200 kes di mahkamah dikemukakan kerajaan pimpinan Shehbaz Sharif yang disokong tentera.

Awal minggu ini, Imran disabit bersalah tuduhan rasuah dan dijatuhi hukuman tiga tahun penjara.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) turut memerintahkan agar Imran dilarang terbabit politik selama lima tahun.

Imran menegaskan semua tuduhan jenayah ke atasnya bermotifkan dendam politik. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!