Rogol: Lima termasuk dua pelajar sekolah ditahan
KUALA LANGAT - Seorang pelajar perempuan berdepan detik hitam selepas dirogol bergilir-gilir dalam kejadian di sebuah rumah di Telok Panglima Garang, di sini pada 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku membabitkan lima lelaki termasuk dua pelajar sekolah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa berusia 15 tahun dibawa oleh salah seorang suspek ke rumah terbabit sebelum dirogol.
"Salah seorang suspek merupakan kenalan kepada sepupu mangsa di mana sepupunya telah meminta pertolongan suspek untuk menghantarnya pulang ke rumah di Klang.
"Sebaliknya, suspek membawa mangsa menaiki motosikal ke tempat lain dan setelah kejadian berlaku, barulah suspek menghantar mangsa pulang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada 1 Ogos, pada hari yang sama bermula kira-kira jam 6.30 petang, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menahan lima lelaki berusia lingkungan 15 hingga 23 tahun di Klang dan Telok Panglima Garang, Selangor.
Ujarnya, semakan mendapati dua daripada suspek berusia 15 dan 17 tahun masih bersekolah.
"Kesemua suspek juga didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau selain ujian air kencing adalah negatif dadah.
"Mereka kemudian direman selama lapan hari untuk siasatan mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!